BN Kota Putera Langgar Arahan Polis, PAS Gesa Tindakan Tegas

BESUT, 30 Julai- Belum pun tamat hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN 15), telah ada ketidakakuran yang dilakukan oleh calon yang bertanding, apabila Barisan Nasional (BN) dikatakan mengadakan perarakan bersama calonnya, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof semasa hari penamaan calon bahagian Pilihan Raya N02 Kota Putera, semalam.

Calon lawannya dari parti PAS, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang jelas melanggar arahan pihak Polis itu.

Jelasnya, tindakan melanggar peraturan ditetapkan ketika berkempen tidak wajar dibenarkan sama sekali.

“Namun, sekiranya ia dilanggar dan tiada tindakan yang diambil, ia menghantar satu ‘signal’ bahawa peraturan yang dibuat hanyalah sekadar atas kertas dan pihak-pihak bertanggungjawab boleh diperkotak-katikkan,” katanya.

Susulan itu, satu laporan Polis telah dibuat oleh Ketua Penerangan PAS DUN Kota Putera, Nik Mazli Mat Yusof berkenaan perkara itu sekitar jam 5.30 petang semalam.

Tambah Nurkhuzaini, sebarang peraturan yang digariskan adalah untuk memastikan proses pilihan raya berlangsung secara adil, lancar dan selamat.

“Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat bersikap adil dalam perkara ini dan masih menunggu keputusan dari pihak Polis,” katanya.

Setakat ini, pihak Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan berhubung perkara tersebut di bawah  Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Sekiranya disabit kesalahan, pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali.


Tag: