KEMAMAN, 3 Februari - Sebuah bot nelayan milik Abdul Malik Muda atau lebih dikenali dengan panggilan "Pok Umor" di salah sebuah jeti nelayan di Kampung Geliga telah tenggelam, kelmarin.

Pok Umor yang berusia 65 tahun berkata, beliau menerima berita kejadian itu apabila dimaklumkan oleh rakannya sekitar jam 11.00 pagi.

"Selepas menerima berita itu, saya segera ke jeti itu dan melihat bot saya telah tenggelam. Ketika itu, air pasang besar, jadi kami tak boleh buat apa-apa lagi.

"Pada petangnya kelihatan air surut dan kami mengikat bot itu dengan tali dan menariknya menggunakan "chain block".

"Oleh kerana keadaan bot yang telah uzur, saya mengambil keputusan untuk menarik bot ke kawasan yang lebih selamat," ujarnya.

Pok Umor yang telah menjadi nelayan sejak berusia 17 tahun telah memiliki bot berkenaan sejak tahun 1994.

"Kalau diikutkan bot ini telah didaftarkan pada tahun 1978 dan sepanjang tempoh itu ia telah berpindah milik seramai lima orang termasuk saya sendiri," katanya lagi.

Punca kejadian dan anggaran kerugian belum dikenal pasti.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat turut turun padang bagi melihat sendiri kejadian di lokasi itu, pagi semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut menyampaikan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Pok Umor. 

 


Tag: