Buat Lagi Kembara Terengganuku Comel!



Exco Pelancongan negeri, Ariffin Deraman bersama para peserta dan penganjur merakamkan gambar di akhir majlis. 
KUALA TERENGGANU, 2 Januari - Kembara Terengganuku Comel yang diadakan menjelang ambang tahun baharu 2020 baru-baru ini mendapat sambutan hangat daripada peserta yang terdiri daripada masyarakat seluruh negeri Terengganu.

Disertai lebih 60 buah kenderaan yang merentasi jarak sekitar 100 kilometer dengan melengkapkan pelbagai cabaran soalan berkaitan negeri Terengganu, pasukan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) cawangan Kuala Terengganu dinobatkan sebagai juara sulung program tersebut.

Pasukan yang dianggotai Mohd Helmi Hamat, Ahmad Zamakhshari Hasbullah, Mz Zulkifly Amer Mokhtar dan Mohd Azhar Othman itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM 2,000 dan hamper.
Pasukan LHDN Kuala Terengganu puas hati bawa pulang wang tunai RM2,000.
Menurut Ahmad Zamakhshari, soalan yang disediakan dalam kembara itu seimbang dengan kesukaran tahap asas sehingga tahap tinggi.

“Dari segi perjalanan kita tengok cantik dan lancar, alhamdulillah. Cuma, ada beberapa kekurangan kecil yang boleh diperbaiki dari masa ke masa.

“Saya juga berharap program ini akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyampaian hadiah sempena Kembara Terengganuku Comel di Duyong Marina & Resort, baru-baru ini.

Rakannya, Mohd Helmi  turut berterima kasih kepada penganjur, kerajaan negeri dan semua yang terlibat dengan penganjuran program tersebut.

“Alhamdulillah, kami berjaya merangkul kejayaan setelah menyelesaikan masalah dan cabaran yang ditampilkan, terima kasih atas penganjuran yang hebat,” katanya.




Tag: