Cacat Penglihatan Bukan Penghalang Khairulanwar Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Seorang pelajar yang mengalami masalah penglihatan membuktikan kekurangan dirinya bukan halangan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, Khairulanwar Zakaria, 19, yang merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) mendapat keputusan 7A (5A+, 2A) sekali gus membolehkannya dinobatkan anugerah pelajar cemerlang SPM bagi kategori kurang upaya penglihatan (buta) peringkat Negeri Terengganu .
Menurut Khairulanwar, dia mengalami masalah pada bahagian korteks otak yang telah disahkan sebagai 'both eyes cortical blindness' ketika berada di Tingkatan Satu.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, walaupun perubahan ke atas dirinya agak mengejutkan, kekurangan itu dijadikan pembakar semangat untuk lebih cemerlang dalam pelajaran.
“Dengan keadaan diri saya yang asalnya dapat melihat kemudian tidak nampak menguatkan lagi semangat saya untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Waktu Tingkatan Satu hingga Tiga pencapaian saya dalam pelajaran agak sederhana dan biasa sehinggalah saya bertemu seorang rakan yang boleh dijadikan sumber inspirasi untuk bersaing secara sihat dalam pelajaran.
"Kami sama-sama bersaing untuk berjaya. Saya ada seorang kawan lama yang dapat 'straight A', saya pun semakin bersemangat nak cuba juga dapat 'straight A' dan hasilnya, berkat doa ibu bapa dan guru saya mendapat keputusan cemerlang hari ini," ujarnya yang bercita-cita untuk bergelar seorang pendidik dan berhasrat menyambung pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Cheras.
Khairulanwar ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan peperiksaan SPM Terengganu 2022 di Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi calon cemerlang SPM Terengganu, Nur Nadiatul Syakila Mohd Razif dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin yang mendapat 10 A+, dia bersyukur atas kejayaan yang diperoleh.
“Tidak pernah sangka pun dapat semua A+, semua datang daripada Allah, satu benda yang yang saya selalu buat adalah berpaut dengan niat sebelum mula belajar.
“Saya selalu bercakap dengan diri sendiri yang saya belajar kerana Allah, hendak bantu agama Allah, alhamdulillah dipermudahkan jalan,” ujarnya.
Anak keenam daripada tujuh beradik kepada pasangan guru itu berkata, kejayaan yang dikecapinya hari ini adalah berkat doa kedua ibu bapa yang tidak putus-putus agar kesemua anak-anak berjaya dapat pelajaran.
“Disamping tunjuk ajar guru-guru yang tidak mengenal erti jemu mengajar dan mendidik saya dan rakan-rakan dari segi akademik mahupun sahsiah diri,” ujarnya yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang asasi undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).