Cacat Penglihatan Tak Halang Yusnita Jayakan ‘Quran Hour’

KUALA NERUS, 13 Mei - Meskipun dalam keadaan tidak mampu melihat, Nor Yusnita Mohamad, 36, tetap berjiwa besar dan bersemangat menjayakan World Quran Hour (WQH) edisi 2020 yang berlangsung hari ini.

Yusnita yang cacat penglihatan sejak kecil ditemani bapanya, Mohamad Awang menjayakan WQH di Pusat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu di sini.

“Alhamdulillah, saya dan ayah seronok dapat bersama-sama rakan-rakan lain menjayakan WQH, hampir sejam kami membaca surah ar-Rahman bersama-sama,” katanya ketika kepada pemberita.

Menurutnya, selepas disahkan cacat penglihatan sewaktu kecil dia mempunyai keazaman yang tinggi untuk menguasai al-Quran.

“Walaupun pada awalnya ia sangat sukar bagi saya dan saya hampir berputus asa, namun dorongan daripada keluarga dan rakan-rakan membuatkan saya dapat menguasai al-Quran dalam masa dua bulan.

“Saya belajar al-Quran braile di sini (PERTIS) dan juga dengan ayah saya yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sejak tahun 2005, dan sekarang saya merasa puas dapat menguasai kalam Allah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi OKU penglihatan, Nai’mah Mansor, 59, berkata, sebelum ini dia tidak pernah ketinggalan dalam mengikuti WQH di TV Al-Hijrah.

“Apabila ada program WQH ini, saya sering mendengar dan mengikuti bacaannya di televisyen, termasuk tahun ini, tetapi berbeza kerana hari ini saya baca bersama rakan-rakan saya.

“Alhamdulillah, walaupun tidak boleh melihat dengan sempurna, saya bersyukur kerana masih mampu membaca surah dengan baik,” ujarnya yang disahkan mengalami Glaukoma.

Dalam pada itu, Mohd Imranfaisal Zulkifli, 36, pula berkata, dia bersyukur kerana masih diberi keizinan untuk mengikuti aktiviti WQH meskipun dalam serba kekurangan berbanding enam tahun lalu.

“Pada 2014 saya kemalangan sehingga mengakibatkan saraf optik saya rosak dan disahkan buta.

“Saya redha, ini ujian buat saya kemudian selepas itu saya mula belajar braile dan mengambil masa enam bulan untuk menguasai al-Quran ini, sekarang saya dah boleh mengaji dengan baik.

“Isteri saya juga banyak membantu dalam mempelajari al-Quran braile ini, kami juga belajar di sini bersama-sama, alhamdulillah,” tambahnya yang baru dua tahun berkahwin. 

Hari ini seluruh negara mengadakan WQH secara serentak bermula dari pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari dan Surah Ar-Rahman dipilih sebagai Surah pilihan.


Tag: