Foto oleh - Nizam at-Takiri |
Ia turut dibimbangi mempromosikan fahaman pluralisme agama dalam kalangan masyarakat Muslim serta menggugat kedudukan istimewa agama Islam dalam Perlembagaan.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan itu dengan sendirinya telah mendidik dan membentuk sikap penganut agama Islam di negara ini sejak sekian lama supaya menghormati ajaran dan penganut agama lain sekalipun tidak mengetahui atau memahami sepenuhnya agama masyarakat bukan Islam itu.
“Terima kasih dan tahniah kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang telah menolak cadangan tersebut.
“Fokus seharusnya diberikan bagi memperkasakan kefahaman dan penghayatan beragama di kalangan pelajar beragama Islam termasuk dengan menyemak semula dan menambah baik silibus sedia ada serta menjadikannya sebagai subjek teras,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Beliau turut berpandangan, adalah lebih tepat memastikan murid bukan Islam belajar subjek mengenal agama Islam di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) supaya mereka lebih memahami ajaran berkenaan dan amalan masyarakat Muslim di negara ini.
“Saya percaya, subjek ini lebih berkesan untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini yang telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Ini kerana Islam adalah agama yang mempromosikan kedamaian untuk manusia sejagat. Sejarah juga memperlihatkan manusia sekalipun berlainan agama, bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing dalam negara Islam,” katanya.