MARANG, 9 Januari – Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan bahawa calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu masih belum diputuskan.
Menurut beliau, perkara tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat PAS Pusat serta PN yang dijadualkan berlangsung pada minggu hadapan.
Katanya, sebarang keputusan berkaitan pelantikan jawatan penting itu akan dibuat secara kolektif melalui perbincangan di peringkat pusat, selaras dengan amalan musyawarah yang menjadi pegangan parti dan gabungan berkenaan.
“Saya serah kepada pusat untuk pilih, tetapi dia bukan saya,” katanya ringkas ketika menjawab pertanyaan pihak media selepas menyampaikan Kuliah Dhuha di Masjid Rusila, hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Guru menjelaskan bahawa ketiadaan Setiausaha PN ketika ini tidak menjejaskan keupayaan gabungan tersebut untuk membuat keputusan kerana keahlian mesyuarat masih mencukupi bagi mencapai kata sepakat.
Beliau menegaskan bahawa proses perbincangan akan dijalankan dengan tertib dan matang, mengambil kira kepentingan parti-parti komponen serta keperluan semasa landskap politik negara.
“Saya sedia membantu,” ujar beliau, sambil menzahirkan komitmen untuk terus menyumbang kepada kestabilan dan pengukuhan PN walaupun tidak memegang jawatan berkenaan.
Mesyuarat yang bakal diadakan itu dijangka menjadi medan penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan PN, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa dan persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-16.