Dr Salleh beramah mesra dengan tetamu Majlis Tautan Kasih Aidilfitri 2017 anjuran Umno Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, semalam |
Sistem capaian internet di Terengganu akan dinaiktaraf bagi memastikan semua masyarakat setempat khususnya di luar bandar dapat menikmati kemudahan tersebut dalam tempoh dua tahun lagi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, bagi merealisasikan hasrat itu pegawainya menilai kekurangan yang wujud supaya penambahbaikan dapat dilakukan segera.
Menurutnya, usaha itu selaras dengan dasar kerajaan yang mahu 95 peratus kawasan di negara ini dapat menikmati perkhidmatan internet menjelang tahun 2020.
“Saya akan arahkan pegawai saya buat penilaian supaya Terengganu dapat menikmati internet kerana Perdana Menteri maklumkan tahun ini adalah tahun digital ekonomi.
“Bila kita berbicara tentang digital ekonomi, ia bukan hanya bermaksud di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur sahaja tapi negeri-negeri lain juga harus merasai nikmatnya dan kita akan usahakan agar kemudahan ini dapat dinikmati semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Tautan Kasih Aidilfitri 2017 anjuran Umno Bahagian Kuala Terengganu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu semalam yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.
Hadir sama Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi dan barisan kepimpinan Umno Bahagian Kuala Terengganu.
Mengulas mengenai kempen 'Jom Bina Negara Semula' yang dilancarkan pembangkang, Salleh yang juga Bendahari Umno berkata ia membuktikan mereka sentiasa mencari jalan untuk cuba memburukkan kerajaan di mata rakyat.
Namun hakikatnya kata beliau, Malaysia bukan sahaja sedang menikmati keamanan, keharmonian dan kestabilan politik, tetapi juga kemakmuran ekonomi yang menyebabkan pembangkang tidak senang duduk.
"Sudah tentu mereka ini cuba cari jalan bagaimana hendak mempamerkan seolah-olah kita ada masalah sedangkan semua angka petunjuk sama ada angka ekonomi, keamanan, kestabilan menunjukkan bahawa malaysia dalam keadaan yang sangat baik.
“Jadi kita kena hati-hati dengan tohmahan segelintir pemimpin ini yang tujuannya politik semata-mata. Kita apabila tiba masanya pilihanraya kita boleh berpolitik kerana rakyat diberikan kuasa untuk menentukan parti mana yang harus menjadi parti pemerintah,” katanya.