Cengkaman Kos Sara Hidup, Rakyat Tagih ‘Penawar’ PM

Menjelang pembentangan Belanjawan 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi dijangka meletakkan krisis kos sara hidup sebagai tumpuan utama.

Penumpuan terhadap kenaikan melampau harga barang, inflasi dan gaji minima rakyat mengulangi janji ketika pengumuman Belanjawan 2024 dan sebelumnya.

Tahun-tahun terdahulu, Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah acap kali berikrar untuk menoktahkan miskin tegar, mengatasi kenaikan harga barang dan menyelesaikan masalah ketiadaan bekalan makanan asas terutama beras tempatan.

Namun, dua tahun berlalu di bawah kerajaan campuran PH-BN, tanda-tanda untuk ‘barah’ kos sara hidup reda masih tidak kelihatan, bahkan masalah itu makin meruncing.

Perkara ini dibuktikan melalui kajian Pusat Penyelidikan Undian UCSI pada Julai 2024 yang menyatakan 99 peratus daripada 921 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas bimbang akan kos sara hidup semasa.

80 peratus daripada responden merupakan golongan pekerja, satu peratus menganggur, 18 peratus pelajar dan satu peratus lagi pesara.

Hasil tinjauan sama mendapati 98 peratus responden berpendapat kerajaan tidak melakukan secukupnya untuk menangani peningkatan kos sara hidup.

Catatan ini merekodkan peningkatan ketara berbanding 61 peratus yang berpandangan sedemikian pada tinjauan sama tahun 2023.

Masalah ini juga diakui Anwar pada 24 Ogos lalu ketika berucap dalam majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Pelancaran Portal Ihsan Madani.

Menteri Kewangan itu berkata, beliau menerima kenyataan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk menangani isu kos sara hidup dan mengawal inflasi, ia masih menjadi masalah utama rakyat.

“Walaupun kos sara hidup dan inflasi (naik) dua, tiga peratus berbanding 40 peratus di Turkiye tapi kita terima kenyataan kerana adanya ihsan,” katanya sebagaimana dipetik Astro Awani.

Melihat keadaan semasa, rakyat Malaysia pastinya mahu langkah serius diambil Kerajaan Persekutuan bukan hanya ibarat ‘melepas batuk di tangga’ dan melakukan ‘stunt’ politik melampau dengan ucapan-ucapan ‘bombastik’ di sisi rakyat.

Apatah lagi wujud banyak laporan mengenai subsidi seperti minyak RON95, telur dan gula bakal dihapuskan di samping lima cukai baharu iaitu Cukai Makanan Berlemak atau Cukai Makanan Tidak Sihat (Fat Tax), Cukai Penetapan Harga Karbon, Cukai Warisan, Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) dan Kecerdasan Buatan (AI) akan diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 Madani.

Jika tahun ini rakyat menerima 'hadiah' kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 dan pertambahan SST kepada 8 peratus, adakah tahun depan lima cukai baharu serta penarikan subsidi petrol juga menanti warga Malaysia?.

Langkah ini sangat bertentangan dengan akur janji Anwar untuk menangani kos sara hidup dalam Belanjawan yang akan dibentangkan esok di saat rakyat sudah di ‘hujung nyawa’ lemas dalam kesesakan harga barang tak masuk akal.

Di pihak rakyat, mereka sudah kerap menyuarakan harapan agar kerajaan memberi tumpuan kepada isu-isu utama melibatkan kesejahteraan keluarga terutama kenaikan harga barang yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar.

Kenaikan harga barang mentah makanan memberi tekanan hidup kepada mereka terutama yang memiliki anak ramai.

“Barang dapur sekarang memang semua naik harga. Dulu dengan duit sebanyak RM300 penuh satu troli, sekarang tak dapat, suku sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette pada 14 Oktober 2024.

Justeru, Belanjawan 2025 sekali lagi menjadi harapan baru kepada rakyat, jika berlaku jika sebaliknya amarah rakyat pasti berterusan.

Ima Wahida Mohd Zaid,
Editor TRDI News.


Tag: