'Central Market at Pasar Payang' Cadangan Menteri Belum Muktamad

KUALA TERENGGANU, 29 Februari – Cadangan menjadikan atau menamakan Kompleks Pasar Payang sebagai Central Market at Pasar Payang oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming masih bersifat cadangan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perkara itu akan diteliti (masih belum dimuktamadkan) dengan serius mengambil kira pandangan semua pihak.

Katanya, beliau faham hasrat Nga mahu menjadikan Pasar Payang lebih dikenali di peringkat antarabangsa sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong.

“Saya percaya kita mempunyai hasrat yang sama untuk menjadikan pasar payang sebagai ikonik di negeri Terengganu bukan sahaja di negeri ini bahkan negara kita.

“Jadi perkara tersebut kita akan bincang dengan lebih lanjut (belum muktamad lagi untuk tukar),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang 1 dan Majlis Kick-Off Program Bandar Selamat (PBS) Tahun 2024 bertempat di Pasar Payang di sini semalam.

Terdahulu, Nga mencadangkan supaya kompleks itu dijenamakan sebagai Central Market Terengganu bagi hub untuk kesenian, kraf tangan, kebudayaan dan pelancongan satu hari nanti.

Katanya, cadangan tersebut mampu melonjak sosio ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat terutama peniaga, dalam usaha menarik lebih ramai pelancong apabila kompleks dijenamakan seperti Central Market Kuala Lumpur.

"Saya menaruh harapan yang tinggi supaya bangunan ini yang tersergam megah, apabila ia diberikan nama 'Central Market at Pasar Payang' Terengganu pada satu hari nanti, ia juga akan mendapat penarafan sebagai salah satu warisan negara seperti Central Market Kuala Lumpur," katanya.

Cadangan Nga menerima respon negatif daripada masyarakat terutamanya rakyat Terengganu yang mahu nama Pasar Payang dikekalkan kerana ia merupakan salah satu identiti negeri terbabit.

 


Tag: