Hospital KMIKT Terima Anugerah Majikan Terbaik KWSP Terengganu 2024
KUALA TERENGGANU, 3 Januari – Hospital KMI Kuala Terengganu (KMIKT) sekali lagi mengukir kejayaan apabila dinobatkan sebagai Majikan Terbaik KWSP Terengganu 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata anugerah itu adalah pencapaian luar biasa yang mencerminkan komitmen KMIKT terhadap kebajikan pekerja serta amalan pengurusan sumber manusia yang cemerlang."Pengiktirafan ini menonjolkan dedikasi KMIKT dalam menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, harmoni, dan produktif kepada semua warga kerja.
"Antara faktor utama yang menyumbang kepada pencapaian ini adalah pelaksanaan inisiatif kebajikan pekerja, pematuhan pembayaran caruman KWSP yang konsisten, dan sokongan terhadap pembangunan profesional kakitangan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.Sementara itu, pihak pengurusan KMIKT dalam kenyataan rasmi menyatakan bahawa pencapaian ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kerja hospital yang sentiasa menjunjung nilai profesionalisme dan keprihatinan terhadap kesejahteraan kakitangan.
"Kami percaya, pekerja yang gembira dan dihargai akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," katanya.
Pengurusan KMIKT turut menegaskan bahawa anugerah ini akan dimanfaatkan untuk terus memperkukuh jenama hospital sebagai organisasi yang mengutamakan keseimbangan antara pencapaian korporat dan kebajikan pekerja.