Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
Che Alias Hamid Dilantik Sebagai Senator
KUALA TERENGGANU, 22 November – Che Alias Hamid, mantan Ahli Parlimen Kemaman, telah dilantik sebagai ahli Dewan Negara dalam Sidang Dewan Undangan Negeri mewakili Negeri Terengganu.
Pelantikan ini melengkapkan barisan kepimpinan negeri di peringkat persekutuan.
Che Alias, yang berasal dari Kampung Semayor, Kemasik, lahir pada 2 Jun 1966 mempunyai tujuh orang anak hasil perkahwinan dengan Rashidah Awang merupakan seorang tokoh yang kaya dengan pengalaman dalam pelbagai bidang.
Che Alias telah bertanding dalam beberapa pilihan raya sejak tahun 1999, dan pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau memenangi kerusi Parlimen Kemaman.
Atas sumbangannya kepada masyarakat, beliau dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K.) pada tahun 2002 dan Setia Mahkota Terengganu (S.M.T.) pada tahun 2022.
Beliau berkata, isu kepentingan Terengganu akan terus diperjuangkannya demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Saya menyifatkan pelantikan ini sebagai satu amanah besar yang perlu digalas dengan penuh tanggungjawab.
"Insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk membawa hasrat dan harapan rakyat Terengganu ke peringkat Dewan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, semalam.
Sebagai Senator yang mewakili Dewan Undangan Negeri Terengganu, beliau menekankan kepentingan menyelaraskan perancangan negeri dan persekutuan demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, terutama antara Pantai Timur dan Pantai Barat.
“Seperti yang telah dinyatakan, rakyat negeri Terengganu mengharapkan kesejahteraan dan kebahagiaan dalam pelbagai aspek, termasuk kos sara hidup, kepentingan ekonomi, dan penempatan.
“Namun, kerajaan negeri tidak mampu melaksanakan semua perkara ini secara menyeluruh tanpa kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
“Oleh itu, keseimbangan dalam peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat adalah amat penting. Sebagai seorang Ahli Dewan Negara yang dilantik, menjadi tanggungjawab saya untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Terengganu.
“Ini kerana aspirasi, cita-cita, dan harapan rakyat negeri kita hanya dapat direalisasikan sepenuhnya dengan sokongan padu daripada Kerajaan Persekutuan,” jelas beliau.
Alias menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya mengabaikan kepentingan dan pembangunan yang perlu diberikan perhatian bersama, kerana Terengganu juga merupakan sebahagian daripada Malaysia.
Sebagai seorang yang berpengalaman dalam arena politik, beliau berazam untuk membawa isu-isu utama rakyat Terengganu ke perhatian Dewan Negara.
“Sebagai wakil yang membawa isu-isu negeri Terengganu, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan hasrat dan harapan rakyat negeri ini didengari oleh kepimpinan serta dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Antara isu utama adalah tuntutan royalti minyak, yang telah lama dibincangkan dan sering disuarakan oleh YAB Menteri Besar, termasuk melahirkan rasa kecewa terhadap sikap Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Alias menambah, dalam sistem federalisme, perkara seperti ini sepatutnya tidak berlaku dimana ia menjadi tanggungjawab Persekutuan untuk membantu Kerajaan Terengganu apatah lagi apabila melibatkan hak negeri yang wajar dihormati dan dilaksanakan.