Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
SETIU, 6 Oktober - Penularan pandemik COVID-19 sejak akhir-akhir ini tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi untuk turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat kurang berkemampuan.
Dr Azman Ibrahim berkata, rentetan penangguhan program rasmi kerajaan membuka peluang untuk menumpukan perkhidmatan sepenuhnya di DUN tanpa meminggirkan tanggungjawab sebagai Exco kerajaan negeri.
"Setakat ini, program rasmi kerajaan yang melibatkan rakyat umum ditangguhkan untuk suatu tarikh yang ditentukan kerana penularan kembali pandemik COVID-19. Namun, perkhidmatan kita kepada rakyat tetap berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.
"Program menyantuni kebajikan rakyat tidak boleh tertangguh. Apa pun situasi yang berlaku, rakyat adalah keutamaan," katanya selepas menziarahi penduduk di beberapa kampung sekitar DUN Jabi, semalam.
Menurutnya, hasil turun padang itu terdapat beberapa orang telah dikenalpasti tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana agensi.
Ujarnya, tindakan segera untuk membuat permohonan telah dijalankan bagi membantu mereka terutama warga emas, orang berpenyakit dan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Untuk berjumpa dengan rakyat kita, pergilah ke tempat di mana mereka berada. Secara umumnya, tidak sampai 10 peratus pun orang yang akan cari wakil rakyat untuk sesuatu urusan.
"Andai kita tunggu rakyat mari pejabat, itulah lebih kurang gambarannya. Fungsi dan peranan kita tak akan menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, melahirkan rasa bibang atas peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di seluruh Negara.
"Saya sangat bimbang dan berdoa agar pergerakan rakyat untuk cari rezeki tidak kembali tersekat seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Saya memahami dalam situasi sekarang ramai rakyat marahkan pemimpin lantaran penularan semula COVID-19. Itu hak rakyat dan inilah harga yang perlu dibayar atas apa sahaja tindakan kita sebagai pemimpin.
"Saya akur dan memohon maaf atas sebarang kekhilafan yang berlaku walau saya tak termasuk dalam senarai pemimpin politik yang balik dari Sabah. Teruskan mematuhi SOP bagi mengekang penularan ini," tambah beliau.