'Cukai Bertambah, Jumlah Pulangan Masih Sama'

PUTRAJAYA, 5 Mac – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa kecewa terhadap cukai yang dikenakan kepada rakyat yang semakin bertambah namun pulangan kepada rakyat masih sama.

Ahmad Samsuri berkata, pemberian ikut kepala kepada Negeri, mengikut Jadual 10 Perlembagaan Persekutuan ataupun Akta 622, masih pada kadar yang lama sejak tahun 2002.

“Oleh yang demikian, kajian semula wajar dilakukan dan isu ini juga telah dibangkitkan sebelum ini oleh Ahli Parlimen Pasir Mas dan Pendang, serta di Dewan Negara, tetapi jawapan tetap sama iaitu belum mahu dikaji semula.

“Walaupun tidak kita nafikan bahawa pemberian yang lain bertambah, seperti pemberian berdasarkan Tahap Pembanguan Ekonomi, Infrastruktur dan lain-lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas (Sesi Pagi) di Dewan Rakyat di sini semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, Kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, dengan adanya Senarai Persekutuan, Senarai Negeri dan yang paling penting telah dengan jelas menyatakan, bahawa suatu kerjasama mesti berlaku, dengan wujudnya 'Senarai Bersama'.

"'Senarai Bersama' inilah, yang memerlukan libat urus dan perbincangan, perkongsian maklumat, semuanya atas saling percaya-mempercayai, tanpa kecurigaan perbezaan politik.

“Pengukuhan konsep Federalisme ini, adalah merupakan perkara asas terpenting, yang memerlukan satu reformasi struktur dan reformasi institusi yang menyeluruh, untuk memastikan Negeri Negeri yang membentuk Malaysia berada di landasan kompetetif, yang akhirnya membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan memang perlu menambah sumber kewangan negara, kerana ianya adalah asas untuk membangunkan ekonomi, keperluan dan sosial rakyat.

Katanya, tetapi biarlah penambahan hasil negara ini, tidak dengan memberi tekanan kepada rakyat awam yang perit kehidupan mereka.

“Benarlah bahawa sesebuah kerajaan mempunyai tanggungjawab terhadap semua peringkat, dan kelompok rakyat. 

“Bersandarkan pada denyut nadi inilah, kita melihat kesenangan dan kesusahan rakyat seluruh kelompok usia dari pelajar, petani, nelayan, peniaga, pekerja kilang, doktor, dan sebagainya yang berdepan dengan perit getir suasana ekonomi yang mencabar ketika ini,” ujarnya.

 

 


Tag: