Dakwah Jalanan Pupuk Rakyat Cinta Rasul

KUALA TERENGGANU, 30 Oktober - Kerajaan Terengganu menerusi akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) tampil menyemarakkan rasa cinta kepada baginda Nabi Muhammad SAW dengan menganjurkan Konvoi dan Street Dakwah Cintakan Nabi, baru-baru ini.

Penolong Pengarah DUAT, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail, berkata pihaknya mengambil tanggungjawab dalam mengajak masyarakat menghayati dan mengingati Nabi Muhammad SAW.

“Program dimulakan dengan konvoi motorsikal melibatkan 200 penyertaan bermula dari Masjid Terapung, Kuala Ibai ke Pantai Batu Buruk yang dilepaskan secara berperingkat sesuai dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

“Setibanya di Perkarangan Pantai Batu Buruk, kami turun mengadakan Street Dakwah secara pendekatan kreatif antaranya sembang santai bersama para pengunjung dengan bertanyakan beberapa soalan berkaitan latar belakang baginda nabi,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau yang juga Pengarah Program berkata, selain mengagihkan risalah dakwah kepada pengunjung sekitar pesisir pantai, DUAT turut memberi sumbangan makanan dan minuman sepanjang ‘Street Dakwah’ itu berlangsung.

“Program sebegini perlu dipergiat dan dianjurkan secara lebih tersusun antaranya membabitkan jabatan dan agensi kerajaan yang terbabit supaya masyarakat senantiasa didedahkan dan terdidik hasil variasi metodologi dakwah Islamiyyah,” katanya.

Program berkenaan membabitkan 200 sukarelawan yang terdiri daripada Alternative Riding Club (ARC), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM), Urus Setia Belia Sukan dan NGO (UBSNT), Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) dan UPDI.

 


Tag: