Dapur Rakyat PKM Sura Bantu Mangsa Banjir

DUNGUN, 1 Disember - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengambil inisiatif mewujudkan Dapur Rakyat sebagai usaha membantu mangsa banjir yang terjejas akibat hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tg Md Fauzi, usaha itu dilaksanakan berikutan jumlah mangsa banjir di kawasan DUN Sura yang meningkat secara mendadak dengan banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, kini terperangkap dalam banjir.

Menurutnya, Dapur Rakyat berfungsi menyediakan makanan dan keperluan asas kepada mereka yang terjejas dan dijalankan secara bergotong-royong, di mana sukarelawan dan anggota masyarakat bersama-sama menyediakan makanan untuk mangsa banjir.

"Kita menghadapi situasi yang luar biasa ketika ini. Banyak kawasan yang tidak dijangka akan tenggelam, kini telah terjejas teruk.

"Kami berterima kasih kepada semua sukarelawan dan dermawan yang telah menunjukkan semangat kebersamaan ini. Bantuan seperti ini sangat penting bagi memastikan tiada yang tertinggal dalam proses pemulihan pasca banjir.

"Kami juga amat mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak. Bagi mereka yang ingin menyumbang, sama ada dalam bentuk barang keperluan memasak atau sumbangan wang ringgit, anda boleh menyertai kami dalam meringankan penderitaan mangsa banjir ini," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Tambahnya, selain menyediakan makanan, PKM Sura juga berusaha memastikan bahawa bantuan terus sampai kepada mangsa yang memerlukan, terutama mereka yang terperangkap di kawasan-kawasan yang sukar diakses.

Dr. Fakhruddin berharap, inisiatif kecil yang diusahakan untuk sama-sama 'merasai' keperitan mangsa banjir, dapat memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi ujian besar ini.


Tag: