Darul Barakah Jadi Pilihan Utama Pemulihan Dadah
KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Pusat Pemulihan Dadah Holistik yang dilaksanakan kerajaan negeri semakin mendapat sambutan di kalangan rakyat untuk memulihkan penagih-penagih dadah di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah memaklumkan, Perkampungan Darul Barakah buat masa ini menerima terlalu banyak permintaan dari masyarakat untuk mendapatkan rawatan bagi ahli keluarga mereka.
Menurut beliau, sepanjang hampir dua tahun pembukaan pusat pemulihan yang dikenali sebagai Perkampungan Darul Barakah itu, kini dihuni oleh seramai 96 pelatih.
"Ini merupakan janji manifesto kerajaan negeri dalam usaha membantu penagih dadah kembali ke pangkal jalan dan mengurangkan masalah ketagihan dalam masyarakat.
"Setakat ini, kita dapat lihat impaknya membantu dalam menyelesaikan segala permasalahan bagi memenuhi agenda rawatan penagih yang menjadi usaha Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Kita juga dapat merawat pelatih dengan pengajian Islam, akhlak dan kemahiran hidup," katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mesyuarat Keempat Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri ke-14, hari ini.
Jelasnya, pembukaan pusat pemulihan tersebut juga sedikit sebanyak membantu keluarga dalam menyelesaikan masalah ahli terlibat dadah.
Mohd Nor menambah, ia juga membuka kesedaran rakyat bahawa permasalahan dadah dapat diselesaikan dengan kerjasama dari semua pihak.
"Konsep pusat ini ialah pemulihan secara berterusan, dalam erti kata ada pemulihan dapat dilakukan dalam tempoh berasaskan modul ditetapkan dan ada juga pemulihan yang dilakukan sehingga mereka mati.
"Ini kerana, ada di kalangan mereka apabila kembali (ke kampung), terjebak semula dalam masalah penagihan dadah.
"Namun, hasil pemulihan yang dilaksanakan, sebahagian besar pelatih-pelatih ini memberi respon dengan positif kepada usaha-usaha dilakukan," katanya yang berharap proses pengambilan pelatih dari masa ke masa dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.