Dasar Perumahan Baharu di Terengganu Ditambahbaik

KUALA TERENGGANU, 23 April - Kerajaan negeri telah merangka dasar perumahan baharu bagi menambahbaik dasar yang sedia ada bagi menggalakkan pembangunan perumahan di Terengganu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Dan Perumahan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, dasar perumahan yang sedia ada telah berkuatkuasa pada 1 September 2019 manakala rangka penambahbaikan dasar perumahan yang baru dijangka siap pada bulan Julai 2024.

"SUK (Bahagian Perumahan) dengan kerjasama pihak Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) juga telah mengadakan Bengkel Hala Tuju Pembangunan Perumahan Negeri Terengganu pada 1 dan 2 April 2024 yang turut melibatkan pelbagai jabatan agensi kerajaan.

"Skop perbincangan bengkel tersebut merangkumi  penambahbaikan dasar dan polisi perumahan Terengganu, penambahbaikan rekabentuk Rumah Mampu Milik (RMM) serta penambahbaikan proses kelulusan dan pelaksanaan projek," ujarnya. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun yang ingin tahu apakah kerajaan negeri ada merangka dasar perumahan baru bagi menggalakkan pembangunan di Terengganu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tambahnya, antara agensi yang terlibat dalam penambahbaikan dasar perumahan kali ini adalah Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Daerah, Pejabat Tanah dan  Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Ini termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat, PLAN Malaysia Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT). 

"Selain itu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT), Pesuruhjaya Bangunan, Indah Water Konsortium (IWK), Syarikat Air Terengganu (SATU)  dan Tenaga Nasional Berhad (TNB)," ujar Wan Sukairi.