KUALA LUMPUR, 1 Julai - "Kamu peganglah jawatan apapun, kamu perlu buat sejarah yang baik," pesan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada delegasi Terengganu yang ditemuinya, hari ini.
Menurutnya, setiap jabatan dan agensi perlu diperkukuhkan dengan pentadbiran yang efektif dan teratur supaya agama Islam dipandang tinggi.
Terengganu ada kelebihan dengan ramainya alim ulama dan sekolah-sekolah pondok tersendiri.
"Suasana agama di Terengganu yang saya percaya kita boleh olah supaya negeri ini jadi tempat yang terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap ketika menerima kunjungan hormat dari Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu di Kompleks Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini.
Diketuai pengerusi jawatankuasa, Mohd Nor Hamzah, kunjungan itu turut melibatkan jabatan dan agensi di bawah portfolionya iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dan Yayasan Islam Terengganu (YIT) yang diwakili ketua-ketua jabatan.
Pertemuan tersebut diadakan sebagai ruang komunikasi dua hala antara agensi negeri dan kerajaan Persekutuan.
Secara tidak langsung, jabatan-jabatan terlibat turut mendapat nasihat dan pandangan dalam memperkasa pentadbiran masing-masing.