DMR Sasar Pelan Pemulihan Dalam Tempoh Enam Bulan
KUALA TERENGGANU, 11 Jun – Duyong Marina & Resort (DMR) mula melaksanakan beberapa pelan strategik sebagai langkah pemulihan sektor itu, yang terjejas susulan penularan COVID-19 untuk tempoh enam bulan pertama.
Pengurus Besarnya, Wan Mohd Faizul Wan Abas berkata, pelaksanaan ini perlu kerana apabila wabak pandemik berkenaan melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada pertengahan bulan Mac, pihak DMR kehilangan sasaran pendapatan hasil pendapatan utama daripada tempahan bilik penginapan dan program.
Katanya, pelan pemulihan yang terbahagi kepada dua aspek utama ini juga bertujuan untuk memastikan 138 kakitangan DMR tidak terjejas dari segi pendapatan dan kedudukan mereka.
“Yang pertama adalah aspek dalaman yang mana kami tangguhkan perbelanjaan yang bukan dalam kategori penting termasuk pembelian-pembelian aset untuk tarikan baharu seperti basikal resort, mini waterpark dan sebagainya.Ini termasuklah penamatan kontrak lanskap yang memakan bajet yang agak besar.
“Keduanya, DMR perkenalkan pakej-pakej baru seperti ‘Kopitiam Tiga Riya’ , Kheloh D’ Bot Penambang, Makang Steambot D’ Jeti dan promosi bilik penginapan dengan tawaran harga terendah bermula RM155 dan tambahan RM15 untuk set sarapan pagi,” katanya kepada pemberita di sidang media di Bytes Café DMR, hari ini.
Katanya, DMR kini beroperasi dengan kapasiti minimum selepas lebih beberapa bulan ini melakukan persediaan rapi sekali gus mengadaptasi keadaan normal baharu dan bersedia menerima tempahan orang ramai dengan jaminan mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
‘’Alhamdulillah, pendapatan setakat ni semakin meningkat dari hari ke hari dan saya jangkakan hujung minggu ini akan mencapai 60 peratus .Manakala menjelang Aidiladha, kita ramalkan mencecah sehingga 80 peratus.
“Jumlah itu meningkat sejurus pengumuman penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Sabtu lalu,”ujarnya.