Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 9 Disember - Rakyat Terengganu diminta bersama-sama mendoakan agar Kerajaan Pusat menepati janji-janji mereka untuk menyerahkan baki bayaran royalti minyak dan gas milik negeri ini daripada PETRONAS dengan segera.
Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Kepada Menteri Besar, Hajah Khairiah Mokti berkata, apabila menerima bayaran itu kerajaan negeri pastinya bersedia dan mampu melakukan pelbagai perancangan pembangunan serta kebajikan yang lebih baik kepada rakyat berbanding dengan apa yang ada buat masa kini.
"Walaupun kita dalam keadaan duit yang terhad, dalam belanja kena berjimat-cermat, tetapi Alhamdulillah ada peruntukan untuk wanita,"ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi kelmarin sebagai mengulas Bajet 2019 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada 25 Disember yang lalu.
Menurutnya, dalam keadaan kekangan kewangan, kerajaan negeri tidak meminggirkan nasib wanita negeri ini termasuk wanita muda dan ibu tunggal.
Jelas beliau lagi, kebajikan ibu tunggal yang menjaga anak dengan ada di kalangan mereka realitinya terpaksa berjuang sendirian perlu sentiasa diutamakan dan dibela supaya tidak terus hidup tertekan tanpa keadilan.
"Terima kasih kepada Kerajaan Terengganu yang sanggup memberikan bantuan kepada mereka, sebagai rasa tanggungjawab kepada anak-anak yang tidak boleh kita abaikan penjagaan dia dan tidak boleh kita abaikan pembelajaran dia," tambahnya lagi.
Beliau juga mengalu-alukan kemudahan tempat-tempat rekreasi untuk muslimat yang disebutkan di dalam pembentangan tersebut.
"Sebenarnya semasa kita menang pada 1999 dulu pun, memang kita telah memasukkan dalam menifesto kita untuk mengadakan pusat rekreasi seperti kolam renang khas untuk muslimat tapi kita tak sempat nak laksanakan,"jelasnya .
Dengan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita, Hajah Zuraida Mohd Nor pula, pihaknya berharap kerjasama pemimpin wanita baharu yang menaggotai barisan ADUN bersama Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, keluarga dan Perpaduan Negeri, Haji Hanafiah Mat, akan membina gabungan yang mantap untuk merealisasikan agenda pembangunan dan kebajikan wanita supaya mencapai sasarannya.
Justeru itu, beliau juga berharap semua wanita menyokong dan mendokong aspirasi kerajaan dalam keadaan terhad ini dan berusaha untuk memenuhi kehendak-kehendak wanita.