KUALA TERENGGANU, 12 November – Bagi menghargai jasa dan pengorbanan jaguh berbasikal negara, Dato' Mohd Azizulhasni Awang atau lebih dikenali sebagai The Pocket Rocketman, sebuah dokumentari khas mengenai perjalanan karier beliau kini sedang dalam proses penerbitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata dokumentari terbitan sebuah syarikat tempatan itu dijangka bakal ditayangkan pada suku ketiga tahun hadapan, sekali gus menjadi simbol penghargaan kepada ikon sukan kebanggaan Terengganu itu.
Menurutnya, penerbitan dokumentari berjudul 'The Pulse' itu bertujuan memberi penghormatan kepada Azizul atas semangat juang luar biasa serta keupayaannya bangkit menghadapi pelbagai cabaran sepanjang kariernya di pentas antarabangsa.
“Dokumentari ini diterbitkan oleh sebuah syarikat tempatan dan akan disiarkan di saluran Netflix, sepertimana dokumentari sukan bertaraf antarabangsa lain.
“Pemilihan Azizul dibuat berdasarkan beberapa kriteria, dan paling utama adalah semangat beliau yang tidak pernah luntur. Tajuk The Pulse dipilih kerana ia melambangkan ‘denyut nadi’ perjuangan Azizul yang terus berdegup walaupun pernah berdepan insiden besar dalam kariernya.
“Bagaimana beliau bangkit selepas ujian, bagaimana semangat juangnya menjadi inspirasi – itulah yang ingin diterjemahkan melalui dokumentari ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri menyokong penuh usaha penerbitan dokumentari tersebut dan berharap karya itu akan menjadi suntikan semangat buat generasi atlet baharu untuk terus berjuang mengharumkan nama negeri dan negara.