• 09 Nov 2024 | 07 Jamadil Awal 1446

'Double Claim' Punca Lewat Agih Bantuan Banjir

MARANG, 15 Februari - Agihan bantuan khas banjir daripada kerajaan negeri masih belum dapat disempurnakan sepenuhnya kerana ada kalangan rakyat yang tidak jujur dalam melakukan tuntutan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada pihak melakukan tuntutan dua kali mengakibatkan proses pemutihan senarai nama yang berdaftar sebagai mangsa terpaksa dilakukan agar yang benar-benar layak sahaja menerimanya.

"Saya terpaksa jelaskan untuk pengetahuan seluruh rakyat dan setiap anggota masyarakat mengambil cakna dan bersifat amanah di antara satu sama lain supaya yang benar-benar layak sahaja menerimanya.

"Masalah timbul apabila ada kalangan mangsa-mangsa ini yang telah membuat 'double claim', isteri mengaku sebagai mangsa banjir di sebuah Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala suami pula pergi ke DUN yang satu lagi turut mendaftar nama sebagai mangsa juga, malah ada yang tidak terlibat cuba 'register' sebagai mangsa.

"Sebab itu saya menyeru kepada seluruh masyarakat supaya jujur dan beramanah tidak membuat tuntutan dua kali kerana ini merupakan wang negeri juga merupakan wang rakyat untuk diagihkan kepada yang memerlukan serta seharusnya dibantu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menyempurnakan penyampaian bauncer pakaian sekolah kepada 1,950 penerima di DUN Rhu Rendang, di Dewan Komuniti, Kampung Medan Jaya, Rusila, di sini, semalam.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri ketika ini sedang berusaha untuk mengesahkan kesemua senarai nama penerima.

"Kita sedang menunggu, ada dua daerah lagi yang belum menghantar senarai nama yang telah melalui proses pemutihan, setelah kita menerima kesemua senarai nama yang telah disahkan itu barulah kita akan sampaikan bantuan sebagaimana yang telah dijanjikan.

"Saya menyeru kepada seluruh anggita masyarakat pada masa akan datang terutamanya mangsa banjir perlu jujur, tidak melakukan tuntutan dua kali, bersikap benarlah dalam membuat tuntutan ini,"ujarnya.