• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Dr. Alias Saran Lawan Jangan Cipta Provokasi Murahan

KUALA NERUS, 11 November- Calon Perikatan Nasional (PN) dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus, Dato'Dr Alias Razak menafikan beliau bersikap sombong atau kurang mesra ketika bersua calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Hasnim sebagaimana kenyataan yang tular di portal Malaysiakini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku di Pasar Malam Serdang, Kuala Terengganu itu, Alias berkata, beliau hanya bertegas untuk menjaga dirinya.

"Isunya kecil sahaja, kami bertembung di pasar malam itu, kami bersalaman dan beliau menarik saya untuk berpeluk, tetapi saya menolaknya.

"Ada beberapa sebab, ketika itu saya dalam keadaan basah lencun.

"Sebagai seorang doktor dan juga exco kesihatan negeri, saya juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada orang ramai.

"Saya bertegas untuk mengutamakan perkara lebih penting ketika itu berikutan musim COVID-19 masih belum tamat dan saranan menjaga batas serta pergaulan dalam masyarakat masih ditekankan, cukuplah bersalaman kerana disitu bukan tempat dan keadaan yang sesuai untuk berpelukan," katanya.

Tambahnya, sebagai calon pemimpin, Suhaimi seharusnya tahu keutamaan dan keperluan, bukannya menjadikan isu remeh sebagai provokasi murahan.

"Virus itu masih ada walaupun kita telah dibenarkan bebas melakukan aktiviti harian. Ketika berkempen, kita juga sering diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan masing-masing.

"Kalau kita terlalu bebas, kemungkinan menyebabkan jangkitan merebak semula.

"Saya ambil kesempatan ini untuk turut berpesan, jaga kesihatan masing-masing, cukup salam dan tidak perlulah berpeluk-pelukan," katanya.


Tag: