Dr Sam Seru Persekutuan Bayar Royalti Ikut Jadual

PUTRAJAYA, 5 Mac – Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyuarakan isu penyaluran royalti petroleum yang diharapkan oleh 1.2 juta Rakyat Terengganu di sidang Parlimen pada hari ini.

Ahmad Samsuri berkata wang royalti atau disebut oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Wang Ehsan dan Dana Khas yang diterima sejak sekian lama itu agar dapat diteruskan tanpa sebarang kelewatan.

Katanya, ia perlu mengikut jadualnya yang diamalkan sejak puluhan tahun.

“Untuk rekod, perlu diingatkan bahawa penerimaan dana oleh Kerajaan negeri Terengganu atas nama 'royalti pertroleum' dari Tahun 1978 hingga 1999 adalah secara terus dari PETRONAS tanpa melalui pihak ketiga.

“Sudah tentu, Kerajaan Madani yang ada pada waktu ini tidak mahu dibaca dalam buku sejarah oleh generasi yang akan datang, sebagai pihak yang tidak membayar wang royalti berkenaan, yang masih berbaki untuk tahun 2023,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas (Sesi Pagi) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, beliau meminta penjelasan daripada Perdana Menteri yang juga merupakan menteri kewangan terhadap dua perkara.

"Sila jelaskan kepada kami yang pertama iaitu apa kebaikan atau objektif yang ingin dicapai oleh kerajaan pusat dengan memberikan kesukaran kepada negeri Terengganu sedemikian rupa.

"Kedua, adakah langkah menekan negeri ini adalah tidak berlawanan dengan sifat ihsan dan hormat yang merupakan dua dari enam rukun Malaysia Madani," katanya.

Untuk rekod, sehingga Oktober Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Persekutuan sepatutnya memulangkan hak rakyat negeri Terengganu sekitar RM1.5 bilion.

“Tetapi Kerajaan Negeri hanya menerima RM510 juta, jumlah ini adalah paling rendah berbanding dengan tahun sebelumnya sejak 2018 hingga 2022.

"Terimaan ini juga jauh daripada anggaran dana khas (wang Ehsan) dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1,524,928,690," ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: