Dr Ahmad Samsuri beramah mesra dengan rakan-rakan media. Foto - Tengku Syamim |
Kerajaan Negeri Terengganu berusaha mengukuhkan hubungan dua hala di antara pengamal media dengan kepimpinan negeri supaya segala agenda kerajaan dapat disebarkan seluas-luasnya.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar melahirkan rasa gembira dan berpuas hati dengan kesungguhan pihak media mengikuti perkembangan pentadbiran negeri serta kepimpinannya.
"Saya gembira dan berpuas hati serta tabik dengan tuan-tuan yang tidak putus-putus membuat liputan tentang kepimpinan kerajaan negeri termasuk saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Bersama Media anjuran Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) di Primula Beach Hotel, semalam (9 Ogos).
Dr Ahmad Samsuri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perancang Kewangan & Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli negeri memuji pihak media kerana melaksanakan tugas dengan menggunakan kepakaran masing-masing sehingga laporan dapat disampaikan kepada masyarakat dengan tepat.
"Wartawan kadang-kadang sampai ke malam masih menunggu, pagi esoknya jumpa lagi, petang pun jumpa lagi.
"Tugas tuan-tuan tidak mudah, menunjukkan betapa tuan-tuan mengambil berat dengan program kerajaan dan kepimpinan kami, " ujarnya.
Justeru, Dr Ahmad Samsuri memohon maaf bagi pihak pentadbiran kerajaan sekiranya kerjasama yang diberikan tidak memuaskan hati pihak media.
Menurutnya, media di Terengganu bersifat profesional apabila didapati tiada satu pun laporan yang disiarkan diputar belit dalam media masing-masing.
Ini kerana masing-masing mengambil sikap bertanggungjawab dan memastikan etika kewartawanan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
"Kamu (media) adalah yang terbaik dalam tugasan kamu kerana membuat liputan yang betul tentang kerajaan negeri.
"Kita ambil manfaat 'win-win situation' di antara seluruh kepimpinan kerajaan negeri dan rakan media," jelasnya.
Justeru, beliau berjanji bahawa kerajaan negeri akan memperbaiki segala kelemahan yang ada untuk tujuan tersebut.
Kerajaan bersikap terbuka dan sedia mendengar teguran serta pandangan dari mana-mana pihak demi kebaikan kerajaan dan rakyat negeri Terengganu.
Katanya, kerajaan menyifatkan semua media Terengganu berada di dalam kelas yang tersendiri dan patut dipuji.
Sementara itu, sebanyak 25 agensi media hadir di majlis berkenaan termasuk Bernama, Utusan Malaysia, New Straits Time, Harian Metro, TV3, Astro Awani, TV Al-Hijrah dan lain-lain.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Inc, Dr Wan Ahmad Rudirman Wan Razak dan Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said.