Oleh : Hanif Hamdan
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Kerajaan negeri melalui portfolio Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri meneruskan pembinaan jambatan angkat (drawbridge) yang pertama di Asia Tenggara.
Pengerusinya, Dr Mamad Puteh berkata, jambatan yang menghubungkan Muara Utara dan Muara Selatan di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) menjadi ikonik negeri dan berupaya menarik tumpuan pelancong serta dijangka siap Februari ini.
"Drawbridge ini yang menyambungkan Muara Utara dan Muara Selatan di KTCC ini akan mengurangkan kesesakan jalan raya di Jambatan Sultan Mahmud.
"Selain itu, ianya juga akan memendekkan jarak perjalanan daripada Kuala Terengganu ke Lapangan Kapal Terbang Sultan Mahmud," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke tapak projek di KTCC, di sini.
Menurut beliau lagi, drawbridge ini bakal menjadi tumpuan pelancongan kerana memiliki keistimewaan yang tersendiri.
"Istimewanya drawbridge 14 tingkat ini kerana mempunyai ruang galeri dan restoran berkapasiti 200 orang. Yang lebih menarik, drawbridge ini lebih panjang daripada London Drawbridge di London sepanjang 50 meter dan pastinya bakal menjadi tumpuan pelancongan dalam negara ini," katanya.
Tambahnya, tinggi 'bascule' (daun jambatan) adalah 40 kaki dan tiada halangan kepada bot nelayan kelas "C" untuk menyusuri drawbridge.
"Untuk kapal atau bot yang melebihi ketinggian 40 kaki boleh menyusuri pada waktu yang dijadualkan.
"Kita akan buat penyelarasan jadual waktu membuka 'bascule' dengan Jabatan Laut," jelasnya.
Kos keseluruhan projek drawbridge ini menelan belanja kira-kira RM248 juta.