KUALA TERENGGANU, 14 November - Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengkaji dan menilai secara menyeluruh keperluan pembinaan Masjid Kampung Pak Sik dan Masjid Durian Telor di Besut.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat, ia termasuk keperluan sebenar, kesesuaian tapak, anggaran kos, dan keutamaan projek berbanding permohonan masjid lain di negeri ini.
Katanya, Kerajaan amat memahami kepentingan rumah ibadat yang selesa dan strategik bagi menampung keperluan jemaah serta aktiviti keagamaan masyarakat di kawasan tersebut.
“Mengikut rekod semasa, terdapat 34 buah masjid di seluruh negeri yang telah diluluskan secara dasar di peringkat MAIDAM masih belum dapat dilaksanakan pembinaannya disebabkan aspek peruntukan belum dapat diputuskan.
“Daripada jumlah masjid ini, Masjid Kampung Pak Sik dan Masjid Durian Telor di Besut termasuk dalam senarai untuk pembinaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Belanjawan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, semalam.
Walau bagaimanapun Hanafiah berkata, dari segi pelaksanaan pembinaan pula, disebabkan perkara ini melibatkan komitmen peruntukan daripada kerajaan negeri dan ahli kariah, perkara ini memerlukan perancangan untuk pelaksanaan secara berperingkat dengan mengambil kira sumber peruntukan yang ada dan juga memerlukan pertimbangan kepada pelaksanaan projek-projek di bawah kategori lain.
Dalam pada itu, mengulas mengenai projek pembinaan Masjid Baharu Kampung Mengabang Lekar pula, beliau memaklumkan kini berada di peringkat pelaksanaan semula setelah mendapat hala tuju melalui Mesyuarat Tuntutan Peringkat Negeri pada 11 September 2025.
“Dalam mesyuarat tersebut, kerajaan telah bersetuju untuk meneruskan projek berkenaan dengan pelarasan semula harga kontrak melalui Perjanjian Tambahan (Supplementary Agreement - SA), termasuk had siling tambahan kos yang dibenarkan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
“Pihak kontraktor telah kembali memulakan kerja di tapak projek, dan setakat ini kemajuan fizikal mencapai 80 peratus,” ujarnya.
Katanya, projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada bulan Oktober 2026, sekali gus bakal menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa dan moden kepada penduduk Kampung Mengabang Lekar serta kawasan sekitarnya.