Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Dua Pelajar UniSZA Wakili Malaysia
Dua pelajar Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan mewakili Malaysia bagi merebut piala Louis M. Brown dalam Pertandingan Konsultansi Kliendi di Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom pada 19 hingga 22 April ini.
Galvin Loo Wei Ming dan Goh Lai Ling, kedua-duanya merupakan pelajar Tahun Empat itu berjaya merangkul juara di Pertandingan Konsultansi Klien Peringkat Kebangsaan Harun M. Hashim (NCCC 2016) kali ke-13 yang berlangsung di UniSZA baru-baru ini.
Mereka yang mewakili UniSZA itu telah menewaskan lima institusi pengajian tinggi awam yang turut bertanding, iaitu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Galvin, anak kelahiran Pulau Pinang berkata, beliau begitu gembira dan terkejut apabila pasukan UniSZA dinobatkan sebagai juara pertandingan berkenaan.
Katanya, walaupun pertama kali menyertai pertandingan itu, dia tidak menyangka dipilih menjadi juara meskipun saingan antara IPT lain begitu hebat.
“Pertandingan ini telah mencungkil bakat kami sebagai pelajar Undang-undang dari segi cara berkomunikasi bersama pelanggan dan memberi nasihat apabila diperlukan.
“Saya bersama ahli pasukan telah berlatih lebih kurang dua bulan serta mendapat tunjuk ajar dari dua pensyarah di fakulti,” katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Goh Lai Ling, berkata mereka akan membuat yang terbaik untuk peringkat antarabangsa nanti demi membawa nama Malaysia dan UniSZA khususnya.