Dua Program Mega Gegarkan Bumi Jabi Bulan Hadapan

BESUT, 12 Mei – Dua program mega bakal menggegarkan bumi Jabi, Besut yang mensasarkan kehadiran ribuan pengunjung seluruh Malaysia pada bulan hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata Program Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Terengganu (HPPNNT) bakal kembali ke Dataran Pekan Jabi disusuli dengan Himpunan Lembu Sado Pantai Timur (HLSPT) setelah dua tahun tidak dapat dilaksanakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

‘’ Antara sebab Dataran Pekan Jabi menjadi pilihan sebagai tuan rumah kerana sudah tersedia dengan infra untuk acara seumpama ini. Kerajaan sudah keluarkan belanja untuk menyediakan infra ini dan ianya boleh digunakan berulang-ulang. Ini boleh menjimatkan kos,

‘’ Walaupun Jabi DUN Exco Pertanian, di sini tak ada tanah untuk kita buat projek pertanian dan tak ada laut untuk program nelayan dan perikanan. Jabi antara kawasan yang paling sedikit peruntukan pertanian diturunkan. Ada program mega seperti ini menghadirkan sedikit kecerian di sini. Pelbagai projek dan program kita sudah agihkan ke seluruh negeri. Semua dah ada bahagian masing-masing.’’ Jelasnya.

‘’ Antaranya labuh tukun, labuh unjam, jeti nelayan, bilik sejuk, ‘slip way’, empangan pengairan, rumah sembelihan, perumahan nelayan, kilang padi, kilang proses beras, projek pembenihan ikan marin, bantuan ‘one-off’ nelayan, kit peralatan menangkap ikan.

''Lesen sampan nelayan, projek pembangunan tanah terbiar, projek lembu semi fidlot, tapak semaian, ladang nenas MD2, projek pertanian bandar, halaqah veterinar, seminar durian, hari terbuka Jabatan Pertanian, projek lada hitam, projek tanaman musang king, projek kambing tenusu, kilang memproses susu, projek tanaman napier dan macam-macam lagi.

‘’ Semua projek dan program yang disenaraikan tiada satu pun rezeki orang Jabi. Kita agihkan ke serata negeri supaya pakat rasa sikit sorang. Harap boleh berlapang dada bila ada satu dua program mega seperti HPPNNT pada 23-25 Jun dan HLSPT  30 jun sehingga 2 julai 2022 ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pelancaran Halaqah Veterinar di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, walaupun ini program kerajaan, tapi kejayaannya didokong oleh lebih 50% tenaga tempatan dari segi persiapan tempat, keselamatan, lalu lintas, makan minum dan lain-lain lagi.

‘’ Kami mempunyai petugas sukarela yang sanggup berjaga malam berhari-hari di Jabi demi kejayaan program.

Tambahnya, program-program pertanian ini dibawa ke kawasan luar bandar seperti Jabi kerana di pusat bandar seperti Kuala Terengganu sudah banyak pelbagai acara dianjurkan.

‘’ Setakat ini kejayaannya sangat membanggakan walaupun sebuah DUN luar bandar yang jadi tuan rumah dan ianya lebih dekat dengan rakyat.

‘’ Malah, bajet DUN Jabi turut digunakan untuk menampung sebahagian kos program. Ini kebersamaan kami untuk menjayakan program dan walaupun Jabi tuan rumah, ruang berniaga dibuka untuk penyertaan dari seluruh negeri. Sayang semua  rakyat kita. Jemput datang semua. Kecik tapak tangan, Dataran Pekan Jabi kami tadahkan.’’