KUALA TERENGGANU, 18 April - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) melancarkan Buku Marhaban Ya Ramadan sebagai panduan rakyat Terengganu khususnya dalam mengimarahkan Ramadan.
Pelancaran buku berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika Majlis Iftar Jamaie Unit-Unit Tubuh Kerajaan Negeri di sini, baru-baru ini.
Kata Ustaz Muhammad Khalil, buku tersebut merupakan naskah yang kedua diterbitkan oleh Akademi DUAT selepas cetakan pertama berkisar intipati perihal puasa.
"Kedua-dua terbitan bertujuan agar pembaca dapat mengaplikasikannya dalam menunaikan tuntutan puasa dengan sempurna seperti yang dikehendaki-Nya.
“Bertemakan 'Ramadan Berkat, Ummah Sejahtera' saya mewakili kepimpinan kerajaan negeri mendoakan agar Ramadan kali ini membawa keberkatan dan kesejahteraan kepada rakyat Terengganu seluruhnya.
“Semoga penghasilan buku ini dapat memberi impak dan manfaat yang besar kepada rakyat Terengganu dalam memaknakan Ramadan pada tahun ini dan tahun-tahun mendatang," katanya.
Untuk rekod, sebanyak 3,000 naskah buku tersebut telah dicetak dan sebahagiannya telah pun diedarkan secara percuma kepada golongan sasar.