Pak Bakar menunjukkan isi Durian Ikan Singgang. |
Menurut salah seorang pemilik dusun durian di Bukit Berapit, Abdullah@Abu Bakar Yaakub, 69, atau lebih dikenali sebagai Pak Bakar, Durian Ikan Singgang mendapat namanya kerana saiz pangsa buahnya yang besar.
"Dahulu, durian ini saiznya besar-besar. Apabila dibelah buahnya, kata orang-orang tua dahulu dalam pangsa durian itu boleh diletakkan seekor ikan kembong singgang berserta kuahnya sekali.
"Sayangnya, pokok durian ini sudah tidak banyak di sini mahupun di tempat lain," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di dusunnya, baru-baru ini.
Tambahnya, mungkin kerana isinya sedikit menyebabkan ramai tidak mahu menanam benihnya.
"Durian ini, kadangkala dalam sebiji cuma ada seulas atau dua ulas sahaja. Isinya pula kuning, lemak manis, lazat dan bersaiz besar.
"Walaupun sedap, tidak ramai boleh merasainya," jelasnya.
Zamri jarang menjual Durian Ikan Singgang bimbang pembeli kurang berpuas hati. |
Katanya, masih terdapat beberapa batang pokok durian Ikan Singgang yang tersisa di dusun jagaannya.
"Tetapi, sekarang buahnya tidak lagi begitu besar, orang-orang di sini kini memanggilnya Anak Ikan Singgang.
"Biasanya, durian ini tidak dijual kerana kami tidak mahu orang yang membelinya rasa rugi, sebaliknya hanya dibawa pulang untuk makan bersama keluarga," katanya.
Di Bukit Berapit, dianggarkan terdapat sekitar 100 pemilik dusun dengan pelbagai jenis durian yang 'sohor' di kalangan masyarakat setempat sejak tahun 50-an lagi.
Rata-rata mereka menjualnya sendiri atau menjualnya kepada peraih-peraih kecil di pasar-pasar sekitar Kijal.
Alias (berbaju merah) dan Zakaria (berbaju putih), dua beradik antara pemilik deretan dusun durian di Bukit Perapit. |