KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Terengganu telah menyalurkan peruntukan sehingga RM5 juta setahun kepada Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu bagi pelaksanaan Skim Bantuan Modal Tani.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, ruang kerjasama antara Agensi Pusat dan Negeri ini terus diperkasa demi kepentingan rakyat.
"Saya tak melihat kepada halangan yang ada tetapi lebih suka memanfaatkan peluang, simbiosis kita di Terengganu agak unik kerana Kerajaan Negeri turut menyalurkan peruntukan kepada Agensi Pusat," ujarnya dalam satu kenyataan, di media sosialnya, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Dr. Azman merakamkan ucapan penghargaan terima kasih kepada Pengarah LPP Negeri Terengganu, Hasmilda Abbbas serta semua pasukan kerja agensi terbabit yang selama ini memebrikan kerjasama dan sokongan terbaik kepada pelaksanaan pelbagai program demi sektor keterjaminan makanan negeri.
"Banyak projek dan program di bawah LPP Terengganu telah membuahkan hasil.
"Sama ada dalam subsektor pertanian, subsektor penternakan dan industri asas tani. Semua ini demi manfaat rakyat kita, terima kasih semua," ujarnya.