Ekonomi, Pelancongan dan Sosial Jadi Fokus Azbi

BESUT, 13 Ogos - Sektor ekonomi rakyat, pelancongan dan sosial masyarakat setempat akan menjadi fokus utama yang akan diberi tumpuan, ujar Azbi Salleh.

Wakil PAS yang baru memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut itu berkata, amanah itu sangat besar bagi dirinya memandangkan beliau menang dengan majoriti agak selesa.

"Ini tanggungjawab cukup besar untuk menjadi wakil rakyat di Kuala Besut, saya pada mulanya menjangkakan akan menang dengan majoriti sekitar 2,000 tapi mengejutkan saya dapat 4,119.

"Atas sokongan padu rakyat Kuala Besut insya-Allah saya akan buat yang terbaik, fokus utama saya adalah berkait isu ekonomi rakyat seperti peniaga, isu pelancongan dan sosial masyarakat juga akan diberi perhatian sewajarnya," katanya kepada media semalam.

Jelas beliau lagi, tiga segmen itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan sepanjang lima tahun sebelum ini ketika menjadi pegawai penyelaras ia sudah diberi tumpuan.

 

"Sejak 2018 saya sudah bekerja bertemu rakyat dan sebagainya, pelbagai isu sudah diselesaikan, saya akan teruskan.

"Termasuk isu pelancongan memandangkan di Kuala Besut ada Pulau Perhentian," jelasnya.

Terdahulu, beliau berterima kasih kepada semua pengundi di Kuala Besut, termasuk yang telah memberi kepercayaan kepada dirinya.

Dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri semalam, Azbi memperoleh 11,496 undi berbanding calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman yang hanya mendapat 7,377.

 

 


Tag: