Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Senjata Melayu yang mempunyai keunikan tersendiri dan masih menggunakan kaedah tradisional dalam penghasilannya menjadi tumpuan pengunjung di Ekspo Terengganu 2018, di pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus.
Pengusahanya, Wan Omar Wan Mansor, 46, menghasilkan senjata dan sarung keris dari Ajil, Hulu Terengganu berkata, sejak dipamerkan bermula hari pertama, dia menerima tempahan lebih 50 jenis parang dan golok.
"Ini termasuklah sarung dan hulu keris dan kesemuanya bernilai lebih RM3,000. Ini tidak termasuk yang beli terus dekat ekspo ini..setakat ini sudah terjual lebih daripada 100 bilah yang bernilai RM4,000.
"Alhamdulillah, syukur dengan adanya ekspo ini dapat mempromosikan kemahiran yang saya ada "katanya ketika ditemui di tapak Ekspo Terengganu 2018.
Wan Omar yang mula berjinak dalam industri pembuatan sarung keris sejak berumur 13 tahun setelah menguasai ilmu ini daripada seorang pembuat sarung keris ternama di Besut pada 2005.
"Saya mula belajar membuat sarung pada usia belasan tahun daripada pengamatan dengan orang-orang terdahulu. Pada peringkat awal bukan mudah, banyak yang perlu dipelajari selok-belok pembuatan sarung senjata ini.
"Sejak itu, minat dan kecintaan tegar kepada kehalusan seni ini telah menguasai dunia saya hingga terdorong untuk memulakan bengkel pertukangan sendiri di rumah,"kata bapa kepada dua anak itu.
Dengan modal RM250, kini beliau mampu tersenyum dengan hasil pendapatannya yang sudah mampu mencapai sehingga RM4,000 sebulan. Malah, apabila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidiladha pendapatannya boleh mencecah sehingga RM7,000 sebulan.
Tambahnya, harga minimum sarung yang dijualnya bermula dari RM70 dan boleh mencecah RM2,500 bergantung kepada jenis, kualiti kayu serta ukiran yang dipesan oleh pelanggan.
Wan Omar memasarkan produknya dalam talian seperti Facebook (wanjaja creative), pameran keusahawanan di bawah kraftangan,Yayasan Pembangunan Usahawan dan Risda serta pernah memasuki pasaran Singapura.
Beliau boleh menghasilkan tiga bilah sarung setiap hari jika menggunakan mesin dan sebilah sahaja dalam masa dua hari jika menggunakan tangan sepenuhnya.
"Ini bergantung kepada permintaan dan tempahan pelanggan. Ada yang nak tradisional dan ada nak pembuatan moden tapi kalau ukiran tu banyak akan makan masa tiga hari.
"Ukiran ni pun banyak bentuknya seperti awan larat, cincang pukat, bunga ketumbit dan bunga pulut termasuklah pembuatan ukiran hulu keris yang agak rumit seperti kepala burung dan kepala kuda laut," katanya lagi.
Bakat Wan Omar tidak hanya terhad kepada pembuatan sarung keris, parang, badik, lembing, kerambit dan golok tetapi juga paip tembakau pelbagai reka bentuk mengikut cita rasa tempahan pelanggan.
Jelas beliau lagi, seorang pembuat sarung harus peka dan bijak dalam memilih jenis kayu yang sesuai dengan kehendak pelanggan.
"Ada lebih daripada 20 jenis kayu yang saya gunakan antaranya kayu kemuning, buey, macang hutan, sena dan ciku bagi memastikan ia berkualiti.
" Bekalan kayu ni saya beli dari orang asli di Kampung Chini, Pahang termasuklah dari kawasan Tasik Kenyir mengikut ketul. Harganya mengikut ukuran kaki dan boleh mencecah hingga RM300 bagi satu ketul (2 kaki setengah),"kata Wan Omar.