Empat Kali Banjir Dalam Tempoh Dua Bulan

HULU TERENGGANU, 30 Disember - Lebih 70 keluarga di PPSK Kampung Menerong terpaksa berhadapan empat gelombang banjir dalam tempoh dua bulan.

Salah seorang penduduk terkesan, Nurul Fadilah Che Mat, 41, berkata ia menjadi rutin tetap yang mereka semua perlu hadapi ketika menjelang musim tengkujuh jika hujan lebat berterusan.

"Pada bulan November, PPSK dinaiki air dua kali dan pernah  mencecah hampir dua meter.

"Kali ketiga pada awal Disember dan semalam yang mana paras air lebih rendah sedikit lebih kurang 1.5 meter," ujarnya ketika ditemui.

Dia yang sudah menetap hampir 17 tahun di kawasan penempatan itu berkata walaupun sudah lali tetapi tetap terasa penat dengan situasi berkenaan.

"Setiap hujan, hati kami memang berdebar-debar, perlu peka dengan aras Sungai Berang dan Sungai Perih.

"Sebab itu, sejak Oktober lagi, kami dah mula menyimpan barang-barang di tempat yang lebih tinggi supaya kerugian dapat dikurangkan," katanya.

Sementara itu, Mek Seri Husin , 52, menyifatkan waktu paling meletihkan adalah ketika membersihkan rumah dari sisa banjir.

"Hujan berhenti jer dan air mula surut, terus pulang ke rumah untuk basuh apa yang perlu.

"Dalam hati berdoa supaya tidak berlaku lagi banjir dalam masa terdekat sebab penat tu tidak boleh nak ceritakan dan perasaan bila tengok keadaan rumah," katanya.


Tag: