SHMMP KRISMAS: 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
Enam Lokasi, Enam Tarikan Berbeza Ketengahkan Warisan Budaya Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos -
Terengganu Cultural Festival atau Festival Kebudayaan yang menghimpunkan warisan kebudayaan dan kesenian tradisional negeri mula beraksi di enam lokasi terpilih selama 11 hari bermula 27 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, berkata, enam hotel dan pusat penginapan serta beberapa lokasi pelancongan terpilih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dijadikan sebagai lokasi festival.
"Festival Kebudayaan ini adalah cetusan idea baharu untuk menghimpunkan kesemua warisan seni budaya bagi menggantikan Festival Pantai di enam lokasi sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
"Kita ingin menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu ini sebagai hub pelancongan kepada pelancong, baik dari dalam negeri, luar negeri ataupun dari luar negara.
"Antaranya nelayan berkolek di Primula Beach Hotel, cerita duyong di Duyong Marina & Resort, wau sobek (Permai Hotel), alunan gamelan sari (warisan sari), flying gasing (Paya Bunga Square & Hotel) serta caritera langkasuka di Terradala. di mana setiap produk mempunyai tema tersendiri,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Festival Kebudayaan di Primula Beach Hotel, di sini, semalam.
Tambahnya selain bertujuan memulihara dan memelihara khazanah seni budaya negeri, program itu juga dapat memartabatkan kebudayaan dan kesenian yang ada agar terus diwarisi generasi akan datang.
Ariffin turut berkata, Festival Kebudayaan kali ini tidak dijalankan secara 'mass market' memandangkan negara masih dilanda pandemik koronavirus (Covid-19) dan terikat amalan operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.
"Semua lokasi yang terpilih akan mempraktikkan SOP yang ketat dan pengunjung dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan sebagai usaha mengekang penularan Covid-19," katanya.