• 08 Sept 2024 | 4 Rabiul Awal 1446

EPIC Solar Sdn Bhd Perluas Rangkaian Perkhidmatan Hijau

KEMAMAN, 22 Julai - EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) yang terlibat dalam pembangunan Stesen Janakuasa Solar Berskala Besar Fotovoltaik berhasrat memperluas rangkaian perkhidmatan sebagai usaha mengetengahkan sumber tenaga solar dan teknologi hijau. 

EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah itu selaras dengan komitmen anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) itu yang merupakan perintis dan pemacu projek solar di Pantai Timur.

Pengerusi ESSB, Dr. Mamad Puteh dalam kenyataan sama berkata, ESSB merupakan syarikat pertama di Negeri Terengganu mempunyai ladang solar berkeluasan 70 ekar di kawasan perindustrian di sini. 

“Loji janakuasa ini menghasilkan sehingga 18.5 megawatt (mw) tenaga elektrik yang dibekalkan kepada Tenaga Nasional Berhad melalui grid nasional selama 21 tahun sehingga 2039, hasil Perjanjian Pembelian Kuasa atau Power Purchase Agreement (PPA) yang ditandatangani antara kedua-dua organisasi pada 2017,” ujarnya.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Meraikan 150,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan (LTI-Free) di Ladang Solar milik EPIC Berhad di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, semalam. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts. Haji Muhtar Suhaili.

Sementara itu, Ketua Syarikat ESSB Azman Muda dalam kenyataan berkenaan berkata, demi menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai 40 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035 serta terus kekal menjana perubahan mampan perniagaan, pihak syarikat mengorak langkah menambah baik dan mempelbagaikan perkhidmatan. 

Katanya, bertepatan dengan aspirasi untuk menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai sebuah pelabuhan hijau atau green port, ESBB turut menyediakan kemudahan dijanakuasakan tenaga solar, terutamanya bagi membantu operasi anak-anak syarikat EPIC Berhad. 

“Ini termasuk pemasangan lampu jalan solar (solar street light) dan lampu limpah solar (solar floodlight) di terminal Dermaga Timur atau East Wharf (EW) kelolaan Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) dan di dermaga yang diuruskan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), selain beberapa lagi khidmat sokongan yang sedang dalam perancangan,” katanya.

Tambah beliau, perkhidmatan tersebut juga dilanjutkan kepada penyewa-penyewa utama di Pangkalan Bekalan Kemaman. 

“PETRONAS Carigali Sdn Bhd antara penyewa yang telah menggunakan khidmat ESSB untuk pemasangan lampu jalan solar dan lampu limpah solar ini,” ujarnya.

Katanya, selain penawaran sedia ada lain seperti pengurusan projek, khidmat perundingan dan pembersihan panel solar, ESSB juga sedang membangunkan keupayaan untuk menjadi pelabur, pembekal dan pemasang bumbung berkuasa solar (solar rooftop). 

“Dengan kekuatan tenaga kerja berpengalaman dan berkemahiran, ESSB yakin akan menjadi pesaing utama dalam industri tenaga boleh baharu, demi menjana pendapatan selain memberi impak positif kepada transformasi ekonomi Negeri Terengganu sambil mendukung rangka kerja amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus EPIC Berhad,” menurut kenyataan itu.