EPIC, Tujuh Rakan Strategik Jalin Kerjasama

KUALA LUMPUR, 18 Februari - Syarikat Kerajaan Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dan anak-anak syarikatnya telah memeterai kerjasama strategik dengan tujuh rakan perniagaan bagi merancakkan lagi pertumbuhan serta memperkukuh daya saing dan ekonomi tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian & Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, kerjasama yang dijalinkan melalui majlis menandatangani memorandum itu melambangkan satu lagi pencapaian penting untuk EPIC Berhad serta anak-anak syarikatnya.

"Saya percaya perancangan dan perbincangan rapi telah dijalankan bagi memastikan kerjasama ini dapat memenuhi potensi dan objektif yang ingin dicapai bersama.

"Kerjasama ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada EPIC Berhad untuk terus meningkatkan keupayaan syarikat, menyediakan perkhidmatan yang kompetitif dan memberi manfaat yang besar kepada rakyat serta ekonomi negeri Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Antara EPIC Berhad dan Rakan Perniagaan Strategik di Junior Ballroom, Aras 6A, Four Seasons Hotel, di sini, hari ini.

Turut Hadir, ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr.Ts. Mukhtar Suhaili.

Mengulas lebih lanjut, Nurkhuzaini berkata melalui majlis bersejarah yang telah diadakan itu ia membuktikan bahawa EPIC Berhad kini berada pada landasan yang kukuh dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri.

"Jalinan kerjasama yang dibina ini selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) dan Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu 2023-2030.

"Dasar ini bertujuan mempercepatkan transformasi Terengganu ke arah menjadi hab industri berteknologi tinggi dan mampan," ujarnya.

Mengulas mengenai kerjasama yang diadakan itu, Mukhtar berkata ia membabitkan tujuh rakan perniagaan strategik yang akan menjadi pemangkin kemajuan industri yang akan memberi nilai tambah kepada pihak berkepentingan dan memacu perkembangan sosioekonomi negeri.

Jalinan kerjasama itu menurutnya membabitkan sebuah syarikat pengendali pelabuhan, Begas Energy Sdn Bhd, Saujana Upstream Sdn Bhd, Saujana Marine Sdn Bhd, University College TATI (UC TATI).

"Serta pengoperasian rasmi Rahar Niaga Sdn Bhd, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan bunkering yang diambil alih oleh EPIC Berhad pada akhir tahun 2024,"jelas beliau.