ESCAR Akan Dikomersialkan Sebagai Kenderaan Industri Pelancongan

KEMAMAN, 22 Julai - Kenderaan inovasi mesra alam, EPIC Solar Car (ESCAR) akan dikomersialkan sebagai kenderaan industri pelancongan dalam masa terdekat. 

EPIC Berhad dalam satu kenyataan berkata, kenderaan tersebut akan ditambah baik untuk meningkatkan kapasiti dan ciri sedia ada termasuk pemantauan masa nyata bateri dan Sistem Penentududukan Global (GPS).

Ketua Syarikat EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB), Azman Muda dalam kenyataan sama memaklumkan, hasil kerjasama strategik bersama Kolej Universiti TATI (UC TATI) pasukan ESSB berjaya melancarkan Escar pada tahun lalu.

“Kenderaan ini daripada inovasi kenderaan ringan kereta ‘buggy’ yang biasanya digunakan di kelab-kelab golf, industri perhotelan dan kawasan pelancongan. 

“Ia mengguna pakai tenaga elektrik dijanakuasakan oleh tenaga solar yang disimpan dalam bateri, justeru menjadikannya sebuah alternatif mesra alam kepada kenderaan konvensional berasaskan petrol,” ujarnya dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Menurut beliau, ESCAR dapat membuat pengecasan elektrik secara automatik selagi wujud sumber cahaya matahari, sekali gus membantu penjimatan kos.

“ESCAR pada awalnya dirangka untuk kegunaan operasi di Ladang Solar ESSB, namun penggunaannya telah diperluas ke premis operasi beberapa anak syarikat EPIC Berhad iaitu Kuala Terengganu Support Base, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd dan Sukma Samudra Sdn Bhd,” katanya.