SETIU, 25 Jun - Seramai 32 peserta yang mengusahakan 39.8 hektar ladang tembikai dan labu manis lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu membantu memasarkan sebanyak 654 tan metrik tembikai yang dianggarkan bernilai lebih RM512,000.
Bantuan dalam bentuk perjanjian jual beli buah tembikai dan labu manis berkenaan dibuat bagi mengatasi masalah lambakan serta harga tembikai yang tidak menentu termasuk jaminan harga yang ditawarkan juga membantu pengusaha tembikai tetap beroleh keuntungan pada setiap musim.
Sementara itu, Ketua Kelompok Tanaman Tembikai Rhu Sepuluh, Baharudin Ibrahim berkata perjanjian yang dibuat dengan FAMA memberi jaminan kepada petani untuk memasarkan tembikai selain mengurangkan masalah lambakan buah di pasaran.
Katanya, ia juga membantu meringankan beban mereka yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada 18 Mac yang lalu disebabkan wabak pandemik Covid 19.
"Sepatutnya penyemaian benih dilakukan lebih awal namun bila kerajaan umum PKP, semuanya terhenti menyebabkan hasil tidak dapat dituai mengikut tarikh yang sepatutnya.Dari segi kerugian, cuma melibatkan masa kerana lewat dan sekarang kami mula tabur benih secara berperingkat.
“Harga di pasaran masih lagi bertahan lagipun hanya tembikai dari ladang di Rhu Sepuluh yang berada di pasaran setakat ini dan harga jualan di kebun cuma RM1.80 sekilo manakala harga di pasaran mampu mencecah RM3.50 sekilo,” ujarnya.
Dia berkata demikian kepada pemberita di Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Antara FAMA Dengan Usahawan Ladang Kontrak MOA Negeri Terengganu di Kelompok Tanaman Rhu Sepuluh, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin dan Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed.
Bekalan tembikai dan labu manis tersebut akan dipasarkan di 40 pusat operasi di seluruh Malaysia
termasuk 100 ‘outlet’ jualan runcit FAMA di seluruh negeri.