FAMA Jangka Terima 60 Mt Kelapa Atasi Kekurangan Bekalan

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Terengganu dijangka akan menerima sekitar 60 Metrik tan (Mt) kelapa tua bagi memenuhi keperluan orang ramai pada bulan Ramadan dan Syawal tahun ini.

Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan berkata, terkini FAMA telah menerima sebanyak 10 Mt bagi menampung keperluan minggu pertama Ramadan ini.

"Peringkat awal kita telah terima lebih kurang dalam 30 Mt daripada akhir bulan Januari sehingga akhir Februari baru-baru ini. Saya jangka kita akan terima 20 Mt setiap bulan.

"Setakat ini, kita merancang penggunaan sekitar 20 Mt sebulan dan dijangka dua minggu sebelum Aidilfitri ia mungkin berganda kepada 40 Mt.

"Kalau keperluan terdesak kita akan ambil lagilah kerana FAMA telah mengimport sebanyak 650 Mt kelapa tua daripada Indonesia melalui FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACORP)," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau proses penerimaan 10 Mt kelapa tua untuk bulan Ramadandi Pusat Operasi FAMA Kuala Terengganu, semalam.

Menurtnya, kelapa tua yang sampai akan diagihkan melalui pusat pengedaran FAMA  iaitu di pusat operasi FAMA Kuala Terengganu dan pusat operasi Besut.

"Pusat operasi ini berperanan mengagihkan bekalan kelapa ini ke outlet-outlet peruncitan FAMA khususnya Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR) dan Agrobazaar Rakyat (ABR) di mana mereka membekalkan secara langsung kepada pengguna.

"Terdapat 111 outlet FAMA \di Terengganu termasuk pasar tani, tetapi kita juga akan menumpukan pemborong-pemborong dan penjual santan yang ambil secara langsung.

"Hari ini, harga yang ditawarkan adalah RM3 sekilo dan kelapa ini kalau kita tengok dibekalkan dalam jaring dengan peratus kerosakan terlalu rendah (1 ke 2 peratus), berbanding import secara pukal sebelum ini yang menyebabkan kadar kerosakan sehingga 10 ke 15 peratus," tambahnya.

Jelasnya lagi, bekalan kelapa berkurangan ekoran kemerosotan bekalan dan perubahan iklim serta permintaan yang terlalu tinggi.

"Sebenarnya, permintaan sekarang berbanding sebelum ini sama sahaja, mungkin ada kerisauan di kalangan pengguna menyebabkan pemintaan yang mendorong kenaikan harga kelapa.

"Kekurangan kelapa ini mungkin bersifat sementara, mungkin selepas Aidilfitri nanti mungkin akan stabil kembali," katanya.

 

 

 

 

 

 


Tag: