Fatwa Ajaran Sesat, MKI ke-125 di Terengganu Jadi Tumpuan

KUALA TERENGGANU, 26 September - Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-125 di Terengganu menjadi tumpuan seluruh Malaysia pada kali ini lebih-lebih ketika isu GISBH masih belum reda.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui MKI penyelarasan daras-dasar Islam di seluruh negara akan dapat dicapai.

"Keputusan yang diambil dalam mesyuarat ini membantu menyatukan pandangan dan amalan antara negeri-negeri, sekali gus mengurangkan perbezaan dalam pelaksanaan hukum.

"Mesyuarat ini juga turut menyediakan platform bagi membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia. 

"Isu-isu seperti fatwa ajaran sesat, hukum hakam dan cabaran sosial ekonomi yang berkaitan dengan Islam dapat dibincangkan secara mendalam untuk mencari penyelesaian yang sesuai," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ukhwah dan Mahabbah (Majlis Makan Malam) Sempena Meyuarat MKI Kali Ke-125, di Elysium, Menara Utara, KTCC Drawbridge, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata melalui kerjasama kerajaan negeri dan MKI tersebut secara tidak langsung ia turut mengiktiraf sumbangan dan komitmen kerajaan negeri dalam memajukan hal ehwal agama Islam.

"Ini akan mengalakkan kerajaan negeri untuk terus aktif dalam menyokong program-program keagamaan dan pembangunan Islam.

"Secara kesluruhannya, Mesyuarat Jawatankuasa MKI Kali Ke-125 yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri ini adalah sangat penting dalam memastikan isu-isu agama ditangani dengan efektif, dasar-dasar Islam diselaraskan dengan baik.

"Serta pembangunan agama Islam dapat dijalankan dengan komprehensif dan berkesan," ujar beliau.

Tambah beliau, umat Islam hari ini perlu menyedari bahawa kebersamaan dan perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan ummah.

"Oleh itu, marilah kita terus memupuk semangat kerjasama dan saling membantu dalam setiap aspek kehidupan kita.

"Dengan adanya kerjasama yang erat antara semua pihak, kita pasti dapat mengatasi segala cabaran dan rintangan yang mendatang," katanya.

 


Tag: