SETIU, 30 November - Kerajaan Negeri Terengganu akan mengemukakan tiga bentuk tindakan undang-undang serentak terhadap FGV selepas syarikat itu didakwa gagal menyelesaikan isu penggunaan tanah kerajaan selama lebih 40 tahun, termasuk tuntutan ganti rugi besar.
Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim, berkata selepas notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara diserahkan hari ini, FGV bakal berdepan tiga tindakan.
"Dan kita akan mulakan tindakan kompaun kerana menceroboh tanah kerajaan dan kita juga akan mengemukakan saman sivil untuk menuntut kerugian negeri dalam tempoh lebih kurang 40 tahun lepas.
"Serta prosedur jenayah kerana bawah Kanun Tanah Negara Seksyen 425 ini ialah kesalahan jenayah. Dia bukan kesalahan sivil," katanya.

Dr. Azman turut menjelaskan bahawa notis akan dihantar kepada semua ahli Lembaga Pengarah FGV susulan daripada operasi tersebut.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa negeri telah memberi ruang perundingan secukupnya termasuk tempoh 40 hari yang dipersetujui bersama, namun FGV gagal memberikan maklum balas atau menyatakan penyelesaian.
"Ruang perbincangan ada had. Mereka terus berpusing pada isu sama, berdolak-dalik dan bahkan mengancam kerajaan negeri," tambahnya.
Kerajaan negeri kini bergerak ke fasa tindakan penuh selepas pelbagai cara damai telah digunakan sepanjang tempoh rundingan ini.