Berita :
Terengganu Akan Senarai Hitam Penganjur Ingkar Garis Panduan
Terengganu Akan Senarai Hitam Penganjur Ingkar Garis Panduan
Rohayati Ripin
12 jam yang lepas
259

KUALA TERENGGANU, 23 Mei – Kerajaan Negeri Terengganu  akan menyenarai hitam mana-mana penganjur acara hiburan atau persembahan yang gagal mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri mempunyai peraturan khusus berkaitan penganjuran acara hiburan, pelancongan dan sukan di seluruh negeri.

Menurut beliau, semua PBT termasuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mempunyai garis panduan yang jelas bagi memastikan setiap acara dikendalikan mengikut ketetapan ditetapkan.

“Jika garis panduan ini dipatuhi sepenuhnya, isu seperti ini tidak akan timbul. Namun kemungkinan masih wujud kelemahan atau kelompongan dari sudut penguatkuasaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu penganjuran acara hiburan di negeri itu selepas program ceramah perdana pasca Sidang DUN di Perkarangan Parkir Surau Al Hikmah, Padang Midin, semalam.

Wan Sukairi berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan bersama semua ahli majlis PBT di Terengganu dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan aspek penguatkuasaan.

Katanya, ahli majlis perlu memainkan peranan lebih berkesan bagi memastikan setiap peraturan dan syarat penganjuran dipatuhi.

“Sekiranya ada penganjur yang gagal mematuhi syarat ditetapkan, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuk menyenarai hitamkan penganjur terbabit,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa penguatkuasaan yang berkesan memerlukan kerjasama semua pihak terutama penguat kuasa PBT agar lebih peka dan serius dalam memastikan setiap garis panduan dipatuhi.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan