Felda Wujud Dana Pusingan RM100 Juta, Pastikan Peneroka Pungut Hasil Secara Mingguan





Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan mewujudkan dana pusingan RM100 juta bagi memastikan lebih 112,000 peneroka mendapat bayaran hasil kelapa sawit dalam tempoh seminggu berbanding sebulan pada masa ini.

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, dana tersebut bertujuan menjamin kelangsungan pendapatan peneroka yang sebelum ini menerima pembayaran hasil selepas kelapa sawit mereka dikutip secara bulanan oleh Felda Global Venture Holding Berhad (FGV).

Katanya, dana ini merupakan antara fokus utama dan objektif asal iaitu memberi tumpuan kepada peneroka serta hasil sawit mereka.

"Kita hendak pastikan kebajikan peneroka tercapai dan sebab itu kita bayar dahulu seminggu sekali tanpa perlu menunggu pembayaran penuh oleh pihak kilang sawit (FGV).

"Hasil itu bergantung kepada bagaimana kebun itu dijaga. Kita nakkan yang terbaik untuk peneroka,dan sebab itulah pihak pengurusan Felda akan memulakan semula bayaran mingguan itu secepat mungkin dan sehingga kini proses mengemas kini akaun peneroka hampir selesai.

"Kita kemas kini akaun peneroka,lihat berapa banyak hutangnya, jumlah pendapatan dan tunggakan bagi melancarkan semula proses pembayaran hasil secara mingguan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis ulang tahun ke-50 Jubli Emas Felda Bukit Bading,Ajil, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Hulu Terengganu merangkap Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Jailani Johari dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib.

Menurut Shahrir, bagi membantu pengurusan Felda,aset-aset hartanah di London yang bernilai RM2 billion boleh dijual dan dicairkan untuk mendapatkan hasilnya.

"Ini merupakan harta-harta dan pelaburan Felda dalam menambah hasil tahunan.Bukan satu kesalahan kalau kita jual dan cairkan pelaburan kerana ia tidak akan menjejaskan peneroka malah membantu dari segi pengurusan kewangan Felda itu sendiri,"katanya lagi

Tag: