Festival Perarakan Mazu, Selera Rasa Sasar 40,000 Pengunjung
Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu menyasarkan seramai 40,000 pengunjung dari dalam dan luar negara bakal memeriahkan dua festival utama yang diadakan di Kuala Terengganu bulan hadapan.
Pengarahnya, Tun Ahmad Faisal Tun Razak berkata, festival yang bakal mengetengahkan adat budaya dan makanan tradisional masyarakat di negeri ini dijadualkan bermula dengan Program Selera Rasa Terengganu 2018 pada 3 hingga 6 Mei ini di Pulau Warisan.
“Antara pengisian program ini adalah untuk memperkenalkan keunikan makanan dan masakan setiap daerah di negeri ini.
“Selain pameran, demonstrasi dan jualan pelbagai produk kering dan makanan sejuk beku keluaran usahawan Terengganu, kita turut menjemput usahawan negeri-negeri lain termasuk Pahang, Kelantan, Johor dan lain-lain lagi untuk berkongsi keunikan hidangan negeri masing-masing,” katanya pada sidang media di Restoran Madam Bee, Kuala Terengganu, hari ini.
Beliau berkata, lebih 100 ‘booth’ berasaskan makanan tradisional Terengganu akan dibuka sepanjang program dan dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti jualan makanan basah dan kering, pameran dan juga ‘foodtruck’.
Sementara itu, Tun Ahmad Faisal berkata, pada 4 hingga 8 Mei pula akan berlangsung Festival Perarakan Mazu anjuran Persatuan Hainan Terengganu dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu di Kampung Cina yang dijangka akan menarik lebih 10,000 masyarakat Cina dari luar Terengganu termasuk dari Wilayah Zhe Jiang, China.
"Perarakan Mazu ini juga adalah salah satu cabang seni warisan masyarakat Tionghua yang turut menonjolkan persembahan seni kebudayaan masyarakat Peranakan Cina sekaligus memperkenalkan produk pelancongan yang ada di Kampung Cina,” ujarnya.
Tun Ahmad Faisal berkata, antara aktiviti sepanjang festival tersebut termasuk perarakan laut dan darat, persembahan bunga api, ceramah kebudayaan Mazu dan sebagainya.
“”selain itu, sebanyak 20 pasukan termasuk dari Penang, Kuala Lumpur yang akan terlibat dalam perarakan darat seperti kereta berhias, tarian singa dan naga serta persembahan tradisional,” ujarnya.