Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
MARANG, 5 Disember - Masjid Bukit Payung menjadi masjid pertama di daerah Marang yang mempunyai 'Food Bank' bagi membantu masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, inisiatif tersebut dilakukan di masjid sejajar dengan makna sebenar memakmurkan masjid.
"Memakmurkan masjid bukan hanya mendirikan solat tetapi juga menunaikan zakat. Diambil harta mereka yang senang disalurkan kepada mereka yang memerlukan, dihidupkan di masjid,
"Masjid menjadi tempat kegiatan masyarakat, bukan sahaja solat, zikir, kuliah tetapi termasuk kegiatan masyarakat menolong masyarakat sekeliling dengan bantuan dan pertolongan," ucapnya ketika merasmikan Food Bank di Masjid Bukit Payung, dekat sini semalam.
Tambahnya lagi, budaya gah akan bangunan masjid yang besar tidak sepatutnya tidak menjadi keutamaan.
"Sebaliknya kita harus memikirkan cara untuk mengimarahkan masjid bukan saja dengan 'mengimarahkan' bangunan-bangunannya tetapi imarahkannya dengan kegiatan ibadah, ilmu dan kebajikan," jelasnya.
Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah turut menyumbang kepada dana Food Bank tersebut dan gimik pemberian disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu.,Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga ADUN Bukit.
Sementara itu, AJK Masjid, Nasir Mamat berkata idea mengadakan Food Bank itu timbul hasil mesyuarat jawatankuasa masjid dengan matlamat komuniti sekitarnya 'zero lapar' dan ia tidak hanya terhad kepada asnaf tetapi terbuka juga golongan B40 yang memerlukan bantuan.
"Berbeza dengan Food Bank lain, Food Bank Masjid Bukit Payung terbuka kepada mereka yang memerlukan ataupun yang telah terputus bekalan makanan di rumah, jadi mereka boleh terus ambil di masjid yang menjadi lokasi tumpuan komuniti,
"Orang ramai yang terbabit bolehlah mengambil sendiri, selain pihak masjid memberikan secara terus kepada isi rumah yang dikenalpasti berdasarkan rekod yang ada. Tanpa mengira siapa. Tidak kira mereka miskin ataupun mereka yang memerlukan atas ujian hidup lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 yang melanda. Ramai yang jatuh miskin, tiada pekerjaan," katanya
Pihak Masjid Bukit Payung turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai. Mereka yang ingin berbuat demikian boleh berhubung dengan pegawai masjid tersebut di talian 011-11985956.