KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Kerajaan negeri kini sedang menggerakkan usaha mewujudkan sebuah institusi pengajian tinggi agama di negeri ini bagi menggantikan kegemilangan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (Kusza) sebagai memenuhi manifesto yang dijanjikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penubuhan ini sebagai satu pemangkin bagi menghidupkan kembali zaman kegemilangan Kusza sebagai hab pendidikan Islam antarabangsa di negeri ini.
Menurut beliau, pihaknya kini dalam proses menggabungkan dua kolej yang memfokuskan kepada pengajian Islam iaitu Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) dan Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT).
"Kita mengambil keputusan akan gabungkan kedua kolej ini dan akan tentukan hala tujunya yang lebih tinggi iaitu menubuhkan kolej yang mencakupi semua bidang seperti Kusza untuk mengembalikan kegemilangannya seperti dahulu.
"Untuk nama kolej, pihak kami akan bincangkan balik dan kini kita telahpun berjalan segala proses termasuk pelantikan pengarah dan ahli lembaganya untuk perkembangan seterusnya,"ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urusetia Penerangan Darul Iman di Program Iftar Jamaei Bersama Exco Pendidikan di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, di sini, hari ini.
Program tautan kasih dan Iftar kali ini berjaya menghimpunkan sahabat yang pernah mendapat pendidikan di Kusza dan Universiti Al Azhar, Mesir yang tinggal dalam dan luar Terengganu.
Jelas Satiful lagi, KQT akan berpindah buat sementara ke bangunan baharu di bangunan Yayasan Terengganu di Ketengah sementara kolej baharu masih dalam proses pembangunan.
Untuk rekod, Kusza merupakan sebuah institusi pengajian tinggi Islam milik kerajaan negeri yang berprestij dibubarkan pada 2006 bagi memberi laluan ke arah kewujudan Universiti Darul Iman yang kemudiannya dinamakan sebagai Universiti Sultan Zainal Abidin kini.