Gajah Liar Berjaya Dipindah Dari Felda Cerul
KEMAMAN, 16 November - Seekor gajah jantan liar berusia 30 tahun berjaya dipindahkan oleh pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu di Ladang Kelapa Sawit Espek 6, RISDA, Felda Cerul, kelmarin.
Seramai 30 orang anggota dari Pusat Konservasi Kuala Gandah, Pahang telah terlibat di dalam operasi memindahkan gajah liar terbabit.
Proses pemindahan yang bermula sekitar jam 9.00 pagi itu telah memakan masa lebih dari lima jam. Para petugas operasi turut berdepan dengan pelbagai cabaran seperti jalan berlumpur dan berbukit.
Ketua Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin, memaklumkan, mereka terpaksa meminta bantuan daripada pelbagai pihak bagi melancarkan operasi.
Pihak pengurusan ladang turut membantu mendapatkan khidmat jengkaut untuk membina laluan khas bagi lori yang membawa gajah liar tersebut.
Operasi berakhir sekitar jam 2.00 petang dengan gajah liar tersebut berjaya dibawa keluar dari ladang berkenaan menaiki lori dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai sebagai pemikat.
Difahamkan, gajah jantan seberat lebih dua tan itu telah memusnahkan lebih 4,000 anak pokok kelapa sawit di ladang berkenaan dan telah ditangkap pada 10 November yang lalu berikutan aduan yang diterima daripada pengurus ladang tersebut.
Dalam perkembangan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim turut hadir bagi meninjau proses pemindahan haiwan liar tersebut.
Beliau merakamkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat dan bertungkus lumus menjayakan operasi pemindahan gajah liar itu.
Beliau juga menaruh harapan tinggi agar kegusaran dan masalah yang dihadapi sebahagian peladang terhadap ancaman gangguan gajah liar dapat dikurangkan dengan berhasilnya operasi pemindahan berkenaan.
Gajah itu akan dibawa ke Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah untuk dipantau sebelum kembali dilepaskan di Taman Negara, Pahang.